Pemuda berusia 24 tahun berasal dari Kuala Pilah itu percaya teknik menggunakan sabut kelapa sebagai bahan bakar bukan sahaja dapat menghidupkan kembali tradisi, tetapi juga dapat menghasilkan rasa dan aroma memukau yang sukar ditandingi teknik moden.
Bagi mengekalkan ketradisionalan bahulu itu, Shahrul Idham turut menggunakan acuan tembaga yang mempengaruhi rasa agar lebih enak dan asli.
"Kami menggunakan lebih kurang 800 biji telur untuk menghasilkan kira-kira 4,000 biji bahulu setiap hari dengan setiap bekas diisi 34 biji berharga RM15. Selain di kedai, kami turut menjual kuih bahulu ini melalui TikTok dan akan membuat penghantaran secara pos ke seluruh negeri.
"Alhamdulillah, produk Bahulu Bakar Sabut Wawa kian mendapat sambutan dan tempahan terutamanya menjelang musim perayaan dan juga majlis perkahwinan," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata dia mendapatkan bekalan sabut sekurang-kurangnya tiga tan untuk kegunaan seminggu bagi mengekalkan keaslian rasa kuih bahulu, selain membangkitkan aroma yang menyelerakan.
Menceritakan mengenai perusahaan kuih tradisional itu, Syahrul Idham berkata perniagaan itu berasal daripada datuk dan neneknya di Jempol pada 1982 sebelum diteruskan bapanya di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah pada 2018.
"Saya merupakan generasi ketiga yang meneruskan perusahaan bahulu ini ... bapa dan nenek turut menjual dodol dan wajik di rumah sahaja sebelum membuka kedai," katanya yang mampu meraih keuntungan antara RM700 hingga RM1,000 seminggu bergantung pada keadaan dan permintaan.
Sementara itu, seorang pelanggan Hasan Abu Kasim, 47, berkata dia sekeluarga akan singgah membeli kuih bahulu bakar itu setiap kali menghantar anak ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah kerana gemarkan rasa yang lazat, serta harganya berpatutan.
"Bahulu seperti ini sukar dicari ... rasanya berbeza dengan bahulu yang dijual di pasar raya kerana cara pembuatan tradisional dikekalkan, menjadikan bahulu ini lebih sedap," katanya.
-- BERNAMA