PASIR MAS: Kayu terbuang malah yang hanyut di sungai, bukanlah bahan yang menjadi pilihan utama kepada kebanyakan tukang perabot mahupun pengukir arca untuk menghasilkan produk berkualiti serta menjualnya di pasaran.
Namun, berbeza bagi seorang pengusaha perabot eksklusif, Mohd Zalizi Mustapha, 55, atau mesra dipanggil Abe G, yang mempunyai perspektif lain terhadap nilai estetika kayu lama dan buruk itu sehingga mendorongnya untuk menjana sumber pendapatan melalui pembuatan perabot dan arca daripada bahan tersebut.
"Kayu terbuang itu adalah kayu buruk yang masih ada teras, manakala kayu hanyut itu adalah kayu hakisan sungai. Kedua-dua jenis kayu ini sebenarnya mempunyai keunikan tersendiri bagi saya.
"Apabila saya melihat setiap jenis kayu hanyut dan terbuang ini, saya akan mendapat ilham baharu untuk membuat arca serta menghasilkan perabot seperti meja dan kerusi dengan ukiran seni yang eksklusif," katanya kepada Bernama, di kedainya di G Landskap di sini, baru-baru ini.
Mula menceburi bidang itu sejak empat tahun lepas, Mohd Zalizi meluahkan beliau tidak menyangka minatnya dalam menghasilkan perabot dan arca daripada kayu terbuang serta hanyut itu mendapat perhatian orang ramai terutamanya mereka yang menggemari produk menggunakan bahan lama atau kitar semula.
"Secara purata, dalam satu hari saya perlu siapkan dua tempahan khas daripada pelanggan yang menginginkan reka bentuk dan corak eksklusif pada perabot atau arca bagi perhiasan rumah mereka malah ada juga saya terima tempahan untuk membuat barang perhiasan untuk akuarium ikan," katanya.
Ujarnya lagi, perabot yang menggunakan elemen kayu terbuang seperti tembesu, kemuning hitam dan cengal merupakan pilihan utama golongan elit kerana setiap jenis kayu itu mempunyai kecantikan tersendiri manakala arca yang diperbuat daripada tembesu pula menjadi produk paling laris di kedainya.
"Permintaan terhadap perabot seperti meja makan yang ditempah khas, kebiasaannya dijual pada harga RM1,700 sahaja satu set, manakala bagi arca pula dijual antara RM35 hingga RM500 iaitu arca rak yang diletakkan piring," katanya sambil memberitahu kebanyakan kayu terbuang dan hanyut yang diperolehnya dibeli daripada penduduk sekitar.
"Malah, ada juga sebilangan stok kayu terbuang dan kayu hanyut yang saya kumpul sendiri dengan mencarinya di hutan berdekatan, sekiranya saya ada kelapangan untuk mencarinya," katanya yang pernah bekerja dalam bidang landskap selama lebih 10 tahun.
Bercerita lanjut, beliau berkata bagi mendapatkan hasil kualiti sama seperti kayu baharu, kayu terbuang dan hanyut itu terlebih dahulu akan digosok untuk membina 'air kayu' atau ira kayu iaitu keunikan kayu yang terbentuk daripada hakisan membentuk jalur dan beralun, tujuan ia digosok untuk mengelak kerosakan menggunakan kaedah memberus secara menegak.
"Kemudian reka bentuk dicipta dan kayu itu juga dibersihkan menggunakan semburan air tekanan tinggi (water jet) dan dijemur sehingga kering, seterusnya dicanai dan dibentuk menjadi sesuatu produk sama ada perabot, arca dan sebagainya. Namun, kebanyakan pelanggan lebih gemar kepada bentuk air kayu semula jadi dan jarang ada yang ingin perabot dan arca yang dibeli itu disapu varnis untuk kelihatan baharu.
"Ini kerana walaupun hasil daripada kayu ini kelihatan buruk pada pandangan biasa, tetapi ia sangat berharga bagi mereka yang tahu menilai seni kerana setiap bentuk mempunyai maksud tersendiri mengikut ketelitian mata masing-masing," katanya.
Sejujurnya, beliau bersyukur kerana dikurniakan anugerah dan ilham mencipta kesenian daripada sumber semula jadi kayu digarap menjadi bentuk yang digemari peminatnya.
"Saya berusaha memenuhi kehendak pelanggan dengan menyegerakan tempahan kerana saya tahu mereka tidak sabar untuk melihat hasil siap dan merasai kepuasan daripada minat atau hobi mereka menggunakan sumber kayu-kayan.
"Kebanyakan pelanggan juga adalah mereka yang bakal menduduki rumah baharu dengan menjadikan sentuhan kayu asli sebagai elemen tradisional dicampur dengan tata hias minimalis untuk kediaman mereka," katanya.
Beliau berkata apa yang menggembirakan beliau ialah apabila pelanggan berpuas hati dan ceria melihat hasil akhir sesuatu produk, Mohd Zalizi akui usaha itu turut memberikan kegembiraan kepadanya juga sebagai tukang kayu.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Feb 28 2021

Jelas Abe G, perabot yang menggunakan elemen kayu terbuang seperti tembesu, kemuning hitam dan cengal merupakan pilihan utama golongan elit. - Gambar hiasan

RUU Pembaharuan Semula Bandar dapat tingkatkan kualiti hidup pemilik - Exco P.Pinang
Kerajaan negeri melalui LPNPP telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) pada 2022.

Paus Francis berehat selepas dimasukkan ke hospital - Vatican
Ketua Gereja Katolik berusia 88 tahun itu telah menerima rawatan di Hospital Gemelli di Rom selama seminggu.
10 Berita Pilihan - (22 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Ahad – 23 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Faizal Saari umum bersara daripada hoki antarabangsa
Namun, Faizal menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

Penantian berakhir, Selangor FC julang Piala Cabaran
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran.
China kesan satu lagi varian baharu Koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia mampu lonjak ekonomi negara
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan.
Tambah baik peraturan makanan sedia ada
Mengambil contoh penjualan produk gummy, Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aqilah Amalina Jaafar berpandangan, makanan itu masih lagi dijual di pelbagai platform, walaupun ia bertentangan dengan peraturan sedia.
Kerajaan lipat ganda basmi kemiskinan tegar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.

Kayu lama dan buruk 'nadi' rezeki Abe G
Jelas Abe G, perabot yang menggunakan elemen kayu terbuang seperti tembesu, kemuning hitam dan cengal merupakan pilihan utama golongan elit.