Bahagikan masa dengan bijak dan jangan terlalu stres mengulang kaji pelajaran. Itu antara nasihat dan resipi kejayaan yang dikongsikan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Lai Wen Hong, 20, yang mendapat keputusan 4A hari ini.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) itu berkata berbeza dengan orang lain, dia lebih banyak menghabiskan masa lapangnya beriadah bersama rakan-rakan sekolah selain melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sukan dan program amal seperti bermain bola keranjang dan menderma darah.

"Saya mahu mengubah stigma masyarakat yang memikirkan pelajar cemerlang hanya fokus pada membaca buku. Sebenarnya tidak, kita perlu melakukan lebih daripada itu kerana kemahiran insaniah juga penting dalam alam pekerjaan.

"Waktu belajar saya tidak tentu dan saya hanya melakukan latihan dan ulang kaji pelajaran pada hujung minggu. STPM bukanlah sesuatu yang perlu dihafal tetapi ia lebih kepada pemahaman konsep dan pembelajaran," katanya kepada Bernama selepas mengambil keputusan peperiksaan STPM di sekolahnya di sini.

Lai berkata dia juga fokus dalam sesi pembelajaran dan pengajaran dan sering ringan tulang membantu rakan-rakan sekelas berhubung tugasan yang diberikan guru dan sebagainya.

"Kerjasama sangat penting sebab kita tidak boleh belajar sendiri, kalau saya habiskan masa di perpustakaan pun saya lakukan bersama rakan-rakan sekelas yang lain sebab lebih mudah belajar bersama.

"Bila dalam kelas kita perlu fokus sebab kefahaman itu sangat penting, bila tidak tahu bertanya dengan cikgu," katanya yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam mata pelajaran Fizik, Kimia, Pengajian Am dan Matematik.

Seorang lagi pelajar, Tan Tzyi Ning, 20, pula berkata dia berusaha untuk tidak mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam kerana menurutnya waktu tidur adalah penting dan perlu cukup.

"Tidur yang cukup membolehkan kita bertenaga dalam kelas keesokannya. Jadi, cara kita membahagikan masa sangat penting," katanya.

Tan yang mendapat 4A dalam mata pelajaran Kimia, Biologi, Pengajian Am, dan Matematik bercita-cita menyambung pelajaran di universiti tempatan dalam jurusan sains pemakanan.

Sementara itu, Pengetua EC, Anuar Sukiran menyifatkan keputusan STPM kali ini sebagai pencapaian yang membanggakan kerana sekolahnya berjaya meraih keputusan PNGK 2.68 peratus.

"Alhamdulillah kita mendapat keputusan 100 peratus lulus dalam semua mata pelajaran. Jumlah keseluruhan yang mendapat keputusan 4A adalah enam orang dan selebihnya lulus dengan gred purata C," katanya.

-- BERNAMA