Inilah kenderaan yang sangat membantu dalam mencari rezeki untuk ke tempat kerja atau mana-mana tempat.
Beruntunglah walaupun hanya guna kereta kecil. Kecil atau besar sekali pun bukanlah untuk tunjuan menunjuk tapi dapat membantu kita dalam memudahkan kerja-kerja harian.
Namun, mungkin pandangan berbeza bagi anak muda. Semakin besar kerta mereka miliki di usia muda, ia menjadi titik tolak untuk mendapatkan penghargaan dan kebanggaan orang yang melihatnya.
Sedangkan kita tak tahu komitmen yang perlu dibayar setiap bulan. Guna kereta kecil tak mengapa sebab, lebihan wang itu boleh digunakan untuk komitmen lain. Buat apa nak malu dengan apa yang kita ada?
Antara kupasan daripada Ahmad Nizar Azham ini cukup menarik. Tak perlu malu pun bila guna kereta kecil. Malah, pesanan ini juga buat anak muda sekarang.
GUNA KERETA KECIL, TENTUKAN MATLAMAT HIDUP
Inilah kereta yang saya gunakan ke tempat kerja setiap hari. Dari Nilai ke Putrajaya.
Hampir 60km ulang alik setiap hari. Sebuah kereta kecil yang sangat jimat serba serbi. Minyak, komitmen bulanan, kos penyelanggaraan, 'roadtax' dan sebagainya.
Perodua Axia E 1.0 (M). Komitmen bulanan hanya RM250 sebulan. Macam bayar motor sahaja. Alhamdullillah tidak 'struggle' bulan-bulan nak bayar sampai RM700 hingga RM800.
Jumlah itu boleh guna ke tempat lain yang lebih bermanfaat kan. Kita boleh buat simpanan ASB atau TH kan? Atau pun kita ada pelan takaful untuk perubatan.
Orang nak kutuk itu biasalah. Dulu saya ingat lagi masa mula-mula bawa kereta ini di UUM, kawan saya kata, ‘eh kereta kecik, tapi bila tuan badan keluar kereta badan besar, tak sesuai’. Tapi lepas tu, rajin pula dia tumpang kereta saya.
Ada juga kawan-kawan asyik kata 'kosongnya kereta hang. Apa pun tak ada'. Yelah masa saya beli Axia E ini mula-mula dulu, radio tiada, 'central lock' tiada, 'alarm' tiada, 'assist grip' tiada.
Kemudian saya buat semua itu di luar kos tak sampai pun RM1,000. Benda boleh jimat, kenapa nak membazir?
Orang nak kutuk biarlah. Kita bukan guna duit dia beli kereta kita ini. Bagi saya kereta ini tak lebih sebagai sebuah kenderaan untuk bergerak dari titik A ke titik B. Tak lebih dari itu.
JANGAN HABISKAN GAJI PADA KERETA
Buat kawan-kawan saya 'fresh graduate' yang baru nak mulakan hidup, nasihat saya jangan habiskan gaji kita pada kereta hanya untuk kepuasan diri dan menarik perhatian orang sekeliling.
Ada kereta mahal bukan petanda hidup anda berjaya. Jangan terikut-ikut dengan sekeliling. Selalu amalkan formula setahun gaji untuk tahu harga kereta yang sesuai untuk kita. Usah malu untuk guna kereta 'second hand' pun atau cuma ada motor sahaja. Biar kereta tak lawa, janji kita tahu apa tujuan hidup kita.
Fokus kumpulkan aset, bukan 'liability'. Sekarang zamannya untuk kita banyakkan simpanan. Kita tak tahu apa pula yang akan terjadi nanti. Jelaskan matlamat hidup kita teman. - Mingguan Wanita