Bazar Ramadan merupakan fenomena yang bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia saling tidak ubah seperti syurga makanan.
Di bazar Ramadan, pengunjung boleh mendapatkan apa sahaja juadah yang ada sesetengahnya sudah lama tidak dijamah.
Namun begitu, di sebalik keterujaan mengunjungi bazar Ramadan, jangan pula ada dalam kalangan kita yang terlepas pandang beberapa perkara.
Antaranya, belajar untuk membiasakan diri mengurangkan penggunaan beg plastik semasa membeli juadah.
Kita mungkin tidak pernah terfikir bagaimana beg plastik digunakan secara berlebihan di setiap bazar di seluruh negara.
Dalam usaha mencetus kesedaran supaya mengurangkan kebergantungan pada beg plastik, di media sosial, sejumlah netizen mengambil inisiatif mencadangkan supaya penggunaan beg plastik dikurangkan pada bulan mulia ini.
Jadi sekiranya anda akan berkunjung ke bazar Ramadan petang nanti, jangan lupa untuk bawa beg kitar semula sendiri.
Bukan itu sahaja, anda juga diingatkan untuk bawa bekas makanan dan tidak membeli makanan dengan bungkusan plastik.
Jika boleh, elakkan daripada meminta sudu garfu plastik.
Cicipan yang mendapat ratusan retweet ini juga mengingatkan anda untuk tidak membeli secara berlebihan.
Kurangnya pembelian makanan, maka pengeluaran duit untuk membeli makanan juga dapat dijimatkan.
Ingat, Ramadan ini adalah bulan untuk menghindarkan diri daripada sikap membazir.