BATU GAJAH: Aktiviti dan program perlu diperbanyak di Galeri Rumah Lat di sini bagi memberi nilai tambah kepada galeri itu, di samping mengelakkan ia berakhir menjadi projek 'gajah putih'.

Gesaan itu dibuat oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan Perak (PTA), Datuk Mohd Odzman Abd Kadir selain berharap harga tiket yang akan mula dikenakan kepada pengunjung pada September depan perlu munasabah serta tidak membebankan.

"Galeri ini memang terbaik tetapi kalau tiada promosi tidak akan jadi begini (meriah dengan pengunjung), bulan September nanti sudah mula kena bayar (tiket masuk).

"Jadi kita takut ia hanya akan jadi 'white elephant' (gajah putih) saya menggesa semua agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi kena bantu dan tempat ini mesti diadakan aktiviti.

"Saya mohon Lembaga Muzium, Majlis Daerah anjurkan aktiviti, seperti hari keluarga atau apa saja. Jadi pengunjung hadir bukan saja untuk lihat galeri, kita mesti ada 'add on'," katanya.
 
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program 'Ipoh City Fun Ride to Galeri Rumah Lat' anjuran Persatuan Pelancongan Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung harga tiket masuk, Mohd Odzman berkata ia patut diberi pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan ramai pengunjung datang ke situ.

Mohd Odzman di luar perkarangan Galeri Rumah Lat di Batu Gajah. - Astro AWANI

"Saya harap harganya berpatutan, misalnya kalaulah harga tiket cecah RM20, rasanya sekali itu sahaja saya datang. Sebab untuk yang berkeluarga kalau seorang RM20 ditambah dengan ahli keluarga lain rasanya ramai yang tak mampu," katanya lagi.

Sementara itu, kartunis negara Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat berkata, beliau berasa sungguh terharu dengan sambutan hangat orang ramai ke galeri itu setelah lebih sebulan dibuka secara rasmi.

Datuk Lat ketika melayan pengunjung di galeri tersebut. - Astro AWANI

"Saya lihat yang datang ke sini terdiri daripada pelbagai kaum sebab ayah, datuk atau nenek mereka pun baca kartun Lat. Maknanya mereka dibesarkan dengan kartun-kartun Lat.

"Kalau ramai yang tanya boleh ke jumpa Datuk Lat? Kalau nak jumpa memang boleh tapi kena tengok jadual, ada masa yang saya ada kita akan umumkan.

"Tetapi kejap kejap sajalah, sebab saya ini warga emas dan kalau berkerumun pun tidak digalakkan juga, tetapi saya suka lihat semangat orang ramai yang datang dan saya gemar ambil gambar dengan pengunjung di sini," katanya.

Terdahulu, program berkenaan membabitkan seramai 73 orang peserta termasuk pemain serta ejen industri pelancongan dan pengusaha hotel.

Program 'Ipoh City Fun Ride to Galeri Rumah Lat' anjuran Persatuan Pelancongan Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh. - Astro AWANI

Antara lokasi pelancongan yang dilawati seperti Tasik Cermin, Chiang Jiang Coffee, Taman Herba, Kellie's Castle dan Galeri Rumah Lat.