Garis masa di media sosial dihujani dengan ucapan takziah dan kata-kata penghargaan terhadap Lagerfeld yang menurut mereka merupakan sumber inspirasi.
Astro Awani
Wed Feb 20 2019
Rekaan Lagerfeld sering mempengaruhi trend rekaan pereka lain dan memberikan impak luar biasa pada industri fesyen. (Foto AP/Fail)
PEMERGIAN lagenda fesyen Karl Lagerfeld membawa rasa duka kepada peminat fesyen di seluruh dunia.
Garis masa di media sosial dihujani dengan ucapan takziah dan kata-kata penghargaan terhadap Lagerfeld yang menurut mereka merupakan sumber inspirasi.
Pereka fesyen, Donatella Versace berkongsikan fotonya bersama Lagerfeld dan menyifatkan mendiang sebagai seorang genius.
Donatella dan mendiang Gianni Versace banyak mendapat inspirasi dan belajar daripada Lagerfeld yang meninggal dunia pada usia 85 tahun di Paris pada Selasa.
Fashionista Victoria Beckam turut bersedih dengan pemergian Lagerfeld dan mengakui beliau seorang yang pemurah dan baik hati sewaktu bekerjasama secara profesional mahupun peribadi.
Kim Kardashian pula mengenang pengalamannya gugup ketika pertama kali menjalani sesi fotografi bersama Lagerfeld yang mana ikon fesyen itu menjadi jurugambarnya.
Supermodel Noami Campbell mengatakan terlalu banyak memori bersama Lagerfeld untuk dicatatkan dan beliau mengucapkan terima kasih kepada mendiang kerana memberi peluang pada dirinya seorang gadis berusia 16 tahun dari selatan London untuk menjadi model pada ketika itu.
Adik-beradik supermodel generasi baharu, Bella dan Gigi Hadid turut berkongsi pengalaman dan bagaimana Lagerfeld memberikan impak yang cukup besar pada hidup dan kerjaya mereka.