Namun kejadian yang satu ini agak melucukan apabila seorang pemain bola sepak di Guam, dikenakan kad kuning kerana lamaran yang dilakukannya.
Ashton Surber, penyerang kelab Napa Rovers FC yang beraksi dalam Liga Kebangsaan Guam, menjaringkan salah satu gol dalam perlawanan menentang kelab Guam Shipyard minggu lalu.
Gol bicycle kick yang dijaringkannya itu memang menarik, namun apa yang lebih menarik adalah aksi Surber selepas itu.
Sebaik menjaringkan gol, Surber berlari ke tepi padang sambil membuka jersi yang dipakainya, sekali gus mendedahkan baju-T putih yang tertera ungkapan 'Marry me' (Kahwini saya), sebelum melutut sebagai tanda melamar teman wanitanya, La’Kiesha Pereda.
Apa yang menggelikan hati, pengadil bertugas kemudiannya terus mendekati Surber dan mengangkat kad kuning.
Membuka jersi di dalam padang dikira satu kesalahan dalam permainan bola sepak.
Namun di akaun YouTube Guam Football, banyak juga komen yang berpendapat pengadil sepatutnya memberi masa untuk Surber membuat lamaran itu.
Apapun, Surber tentunya tidak bermasalah dengan kad kuning berkenaan memandangkan bukan sahaja pasukannya menang 5-1 ke atas Guam Shipyard dan merampas kedudukan teratas liga, tetapi juga mendapat jawapan 'ya' daripada teman wanitanya itu.
Sumber: YouTube Guam Football