KUANTAN: Kepada yang meminati tenun dan tercari-cari cenderahati produk tenun istimewa, ini ada berita baik. 

Pemegang kunci, tali leher, bekas pensil dan lain-lain produk berasaskan corak tenunan istimewa, Tenun Pahang Diraja, kini tersedia di menara Kuantan 188, yang terletak di Kuantan, Pahang.

Ketua Pembangunan Perniagaaan, Pemasaran dan Jualan Kuantan 188, Abdul Jamil Mohamed berkata, menariknya, produk itu dihasilkan Perniagaan Sutera Pulau Keladi yang berasal dari Pekan, Pahang, yang sememangnya terkenal dengan kualiti produk tenun sejak beroperasi pada 2003.

"Produk kraftangan ikonik Pahang iaitu Tenun Pahang Diraja, kini ada di Kuantan 188, di mana menara ini menjadi mercu tanda ikonik di ibu kota Pahang. Gabungan ini diharap dapat memberi peluang kepada peminat tenun supaya datang melancong ke Pahang dan melawat Kuantan 188."

"Pada akhirnya, kita berharap tarikan baharu ini berupaya membantu kehadiran pelancong dan merancakkan ekonomi di Pahang itu sendiri," kata beliau.

Dalam pada itu, Abdul Jamil berkata, Perniagaan Sutera Pulau Keladi, dipilih kerana ia terkenal dalam menghasilkan kebanyakan produk tenun di mana pemiliknya Norakma Zakaria dan Azman Zakaria terus aktif menghasilkan tenun yang berkualiti disebabkan ketelitiannya.

"Selain menyediakan produk dalam bentuk cenderahati, Perniagaan Sutera Pulau Keladi juga terkenal dengan penghasilan kain pasang perempuan, kain selendang, samping dan kain untuk baju kemeja, di mana kesemuanya berasaskan Tenun Pahang Diraja," ujar beliau.

Beliau berkata, bukan sahaja produk berkenaan ada tersedia di Kuantan 188, pihak syarikat juga mengadakan demonstrasi penghasilan Tenun Pahang Diraja di lobi menara untuk tontonan pengunjung.

Produk cenderahati Tenun Pahang Diraja boleh dibeli pengunjung di kiosk yang disediakan berhampiran pintu masuk utama menara itu.

"Waktu operasi kiosk itu bermula jam 10 pagi hingga 10 malam untuk hari Isnin hingga Jumaat, manakala ia dibuka hingga jam 12 tengah malam pada hujung minggu," kata Abdul Jamil.

Sementara itu, Abdul Jamil turut berkongsi beberapa insiatif yang telah dan akan digerakkan untuk menambahkan bilangan pengunjung ke Kuantan 188 sejak ia dirasmikan pada 2021 oleh Sultan Pahang, Al-
Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong.

Antara program tersebut, katanya, siri solat Dhuha secara berjemaah kalangan pesara pada aras 104 meter yang berlangsung baru-baru ini dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada orang ramai.

"Pada masa akan datang, kita juga adakan program siaran langsung Buletin AWANI di mana penyampainya, Amirul Aiman akan membaca berita selama setengah jam pada ketinggian 104 meter, yang juga bakal tercatat sebagai rekod di Kuantan 188 dan negara ini.

"Begitu juga, kita akan adakan program pelancaran buku Senandika Selatan Thailand Luka Sembuh Parut Masih Ada tulisan Editor Kanan Astro AWANI, Dr Azlinariah Abdullah dan program bedah buku tersebut di atas menara ini, pada ketinggian sama.

“Moderatornya adalah penyampai Astro AWANI yang juga pelajar Sarjana bidang sejarah selatan Thailand, AK Shafizan Johari. Kita jamin, banyak lagi program menarik dan ada kelainan akan dibuat bagi memastikan matlamat menambah bilangan pengunjung ke sini, ke Kuantan 188 tercapai," kata beliau.

Kuantan 188, yang dinamakan sempena ketinggiannya 188, sebelum ini dikenali sebagai Menara Teruntum adalah menara kedua tertinggi di Malaysia dan paling tinggi di Pantai Timur.

Di Kuantan 188, para pelancong boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan Sungai Kuantan, sementara yang mahu merasai keseronokan menyirap darah boleh mencuba aktiviti seperti "Sky Walk" dan
"Drop Zone" sama seperti yang terdapat di Menara Macau dan Taipei 101 selain keriangan aktiviti Zipline untuk anak-anak sekolah.

Di Kuantan 188, para pelancong boleh menikmati pemandangan panorama bandar dan Sungai Kuantan serta merasai keseronokan aktiviti seperti ‘Sky Walk” dan “Drop Zone.” – Gambar Astro AWANI