KLANG: Hampir setiap pagi, terutama pada hujung minggu, deretan motosikal termasuk yang berkuasa tinggi memenuhi ruang letak kenderaan di depan sebuah kafe ala warung di Jalan Paip, Meru, di sini.
Di setiap meja di dalam kafe itu pula ada pelanggan yang duduk menikmati hidangan pagi, sementara di luar, barisan mereka yang sabar menunggu giliran untuk masuk ke dalam kafe semakin panjang - pemandangan yang menarik perhatian penulis untuk turut mencuba makanan di Cafe Salim ini.
Menawarkan kelainan, kafe yang dioperasikan oleh bekas jurumasak peribadi kerabat diraja Arab Saudi Almarhum Putera Turki bin Abdul Aziz itu menghidangkan menu ala Barat selain makanan tempatan termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Pasti mahal, mungkin itu tanggapan ramai. Namun jauh panggang dari api, kerana untuk menikmati set hidangan seperti Classic Breakfast yang merangkumi telur, kentang panggang, sosej bakar, tomato panggang, salad, daging lembu, kacang panggang dan roti bakar, pelanggan hanya perlu membayar RM18.
"Di sini kita menyajikan set makanan mewah ala Barat namun pada harga rendah. Hanya dengan kira-kira RM100, pelanggan boleh menikmati pelbagai jenis makanan bersama ahli keluarga," kata pemilik kafe Salim Bahari kepada Bernama.
Mengangkat konsep santai dengan mengetengahkan tema hipster, kafe itu dihiasi pelbagai model motosikal Harley-Davidson mini dan bahagian kereta Volkswagen Beetle berwarna kuning. Dinding pula sarat dengan pelekat persatuan motosikal berkuasa tinggi dan kereta.
Bercerita lanjut, Salim, 64, berkata, walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan beliau adalah setanding.
"Saya dapat tawarkan harga yang kompetitif dengan kualiti setanding hidangan hotel kerana saya dapatkan bahan mentah terus daripada pembekal di sekitar Klang, sekali gus mengurangkan kos.
"Atas sebab itu jugalah saya dapat pilih sendiri bahan mentah, dan sudah tentu saya pilih yang terbaik untuk dihidangkan kepada pelanggan," katanya yang mempunyai pengalaman kira-kira 40 tahun sebagai cef termasuk di hotel terkenal di seluruh negara.
Selain itu, Salim yang berkebolehan memasak pelbagai jenis makanan, melatih sendiri kesemua 12 orang jurumasak di kafenya.
"Masing-masing dilatih dengan kemahiran tertentu. Contohnya, seorang cef pakar memasak telur dadar, manakala yang lain pula pakar menyediakan roti bakar dan memasak spageti.
"Melalui kaedah ini, kita boleh memaksimumkan kecekapan penyediaan makanan kerana semua cef ada tugas masing-masing. Makanan siap dengan cepat, pelanggan puas hati sebab sedap dan dapat makan dengan segera, seterusnya semua orang gembira," katanya.
Beliau membuka kafe itu pada Ogos 2022, dan mengaku pada peringkat awal agak bimbang tidak mendapat sambutan kerana menu sarapan ala Barat jarang diketengahkan oleh pengusaha kafe tempatan.
"Tapi Alhamdulillah, kuasa tular media sosial membuatkan kafe saya menjadi tumpuan pelanggan yang datang dari segenap pelosok negara dengan ada yang berkonvoi motosikal," ujar beliau.
Menurut beliau, pada hari biasa, lazimnya kafe beliau menerima secara purata 400 pelanggan dan meningkat kepada 700 orang pada hujung minggu.
Pengalaman luas bidang kulinari
Mengimbas kembali sejarah pembabitannya dalam bidang kulinari, Salim berkata, selepas menamatkan pengajian peringkat sijil dalam bidang pengurusan perkhidmatan makanan di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada 1980, beliau bekerja sebagai pembantu dapur di Hotel Hyatt Regency Kuantan, Pahang.
Beliau kemudian mengikuti program perantisan di Hotel Hilton Kuala Lumpur selama tiga tahun bermula 1983.
"Menerusi program inilah saya mempelajari selok-belok dan cabaran di dapur hotel serta perlu memahirkan diri melalui latihan teori dan praktikal membabitkan penyediaan makanan pelbagai kategori, antaranya fine dining, masakan Melayu, Cina, pastri serta coffee house," kongsinya.
Menurut Salim, beliau kemudian dapat bekerja sebagai cef peribadi Almarhum Putera Turki dari 1987 hingga 1989 di Jeddah, Arab Saudi.
"Saya memohon menerusi Kedutaan Arab Saudi di sini dan berjaya. Tempoh tiga tahun itu memberikan saya pengalaman yang sangat bernilai serta mematangkan kerjaya saya.
"Ketika di sana, antara tugas utama saya ialah menyediakan makanan untuk ahli kerabat diraja serta memasak bagi setiap majlis untuk tetamu kehormat yang dijemput oleh pihak istana," katanya.
Bagi meningkatkan kemahiran, Salim mengikuti pelbagai kursus di beberapa hotel terkemuka di luar negara.
Dari situ juga beliau belajar aspek pengurusan restoran hotel luar negara, yang menurutnya sangat berbeza dengan pengurusan hotel di Malaysia.
"Di luar negara, bahan mentah termasuk buah-buahan dan herba (untuk masakan Barat) mudah diperolehi kerana cuaca lebih sejuk berbanding di negara ini yang kebanyakannya perlu dimport, sekali gus menjadi cabaran kepada pengusaha hotel tempatan," ujarnya.
Sepanjang kariernya dalam perhotelan, beliau pernah memenangi beberapa anugerah kulinari, antaranya pingat perak bagi kategori Plated Appetizer anjuran Foodex/Hotelex Malaysia, pingat gangsa bagi dua kategori Butter Sculpture dan Buffet Platter anjuran Salon Gastronomique Malaysia, serta pingat gangsa bagi kategori 5 Course Set Dinner dan Western Cuisine yang dianjurkan oleh Food and Hotel Asia Singapore.
"Kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil sokongan isteri, Sahlawati Norman dan anak-anak. Bagaimanapun daripada empat orang anak, hanya anak kedua sahaja yang mengikuti jejak saya," katanya yang merupakan ahli kehormat beberapa persatuan kulinari, antaranya Confrerie De La Chaine De Rotisseurs Baillage De Malaisie dan Professional Culinaire Association Malaysia.
Beroperasi Selasa hingga Ahad, bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari, Cafe Salim menawarkan pelbagai hidangan sarapan ala Barat berharga serendah RM9, antaranya Chunky Mushroom Soup, Grilled Chicken Chop dan Seafood Chowder (masing-masing RM19), selain turut menghidangkan menu tempatan seperti nasi lemak rendang kerang (RM9), laksa Sarawak dan mi kolok goreng (masing-masing RM12) serta kuetiau goreng (RM8). - BERNAMA
Bernama
Mon Feb 19 2024
Cafe Salim ala warung ilham Cef Salim di Jalan Paip, Meru, Klang, menawarkan harga 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel. - Gambar Bernama
Penganggur ditahan, tujuh kes penipuan selesai
Polis Selangor berjaya menyelesaikan tujuh kes penipuan di beberapa negeri termasuk menyamar sebagai pihak berkuasa bagi membebaskan tahanan dari lokap dengan penahanan seorang lelaki warga tempatan, awal bulan lepas.
Pengarah syarikat rugi RM2.1 juta terpedaya penipuan pelaburan
Seorang pengarah syarikat kerugian RM2.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud di platfrom Digzax Exchanger.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 77 tahun itu tertarik dengan tawaran platform berkenaan berhubung pelaburan matawang kripto yang ditemui menerusi iklan di laman Facebook pada Ogos tahun lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia 77 tahun itu tertarik dengan tawaran platform berkenaan berhubung pelaburan matawang kripto yang ditemui menerusi iklan di laman Facebook pada Ogos tahun lalu.
Polis mohon bantuan kesan warga emas hilang
Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Taman Singa Baru, Sitiawan sejak 31 Januari lalu.
Mayat lelaki dijumpai dalam tangki simpanan air
Mayat lelaki dijumpai dalam sebuah tangki simpanan air di Pelantar P5 Sungai Pinang Besar di Pulau Pangkor pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira 3.15 petang.
Malaysia perlu perbahasan konstruktif, bukan sensasi
Menurut Tharma Pillai, ini kerana sidang Parlimen dianggap amat penting bukan sahaja dalam konteks domestik, tetapi juga dalam situasi global,terutama peranan Malaysia yang kini menjawat jawatan Pengerusi ASEAN25.
Dewan Rakyat: Sasaran Malaysia Sukan SEA 2025, mekanisme SKBBK antara tumpuan
Sasaran Malaysia pada Sukan SEA 2025 dan mekanisme pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Insiden tembakan: 10 maut, serangan terburuk dalam sejarah Sweden
Sekitar 10 individu dilaporkan terbunuh dalam kejadian tembakan di sebuah pusat pendidikan dewasa pada Selasa.
Tragedi MH17: Keluarga rakyat A.S terbunuh dalam MH17 boleh saman bank Rusia
Keluarga seorang warga Amerika yang terbunuh susulan pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di Ukraine pada tahun 2014 kini dibenarkan untuk menyaman bank terbesar Rusia.
A.S - China: Trump tak tergesa-gesa bercakap dengan China ketika perang tarif melanda
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa menyatakan beliau tidak tergesa-gesa untuk bercakap dengan Presiden China, Xi Jinping.
Gencatan senjata: Hamas sahkan rundingan fasa kedua perjanjian bermula
Kumpulan Palestin Hamas pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan telah bermula, lapor Agensi Anadolu.
Bekas cef kerabat diraja Arab Saudi tawar menu sarapan ‘kayangan’ pada harga mampu milik
Walaupun 50 peratus lebih murah berbanding harga di restoran mewah dan hotel, kualiti makanan yang dihidangkan Cef Salim adalah setanding.