TANGGAPAN serangan strok hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi golongan muda adalah salah sama sekali, kerana berita buruk itu boleh terjadi pada sesiapa sahaja tanpa dibatasi faktor usia mahupun jantina.

Setiap tahun, lebih 50,000 kes baru berkaitan strok atau angin ahmar direkodkan di Malaysia dan ia terus meningkat dari tahun ke tahun.

Perunding Neurologi Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr. Loh Pei Kee memaklumkan, kini risiko strok terhadap golongan muda semakin meningkat dan ia agak membimbangkan.

“Mungkin sekitar 20 tahun lepas sering kita dengar orang yang diserang strok pada usia 40 atau 50 tahun, namun sekarang ini bukan sahaja ia boleh terjadi pada kanak-kanak malah mereka dalam golongan usia 20 hingga 30 tahun merupakan kumpulan yang semakin meningkat risikonya.

“Saya rasa golongan ini yang lebih penting kerana mereka mempunyai risiko tertentu yang menyebabkan mereka mendapat strok ada usia muda," ujarnya.

Menurutnya, tabiat merokok adalah salah satu daripada amalan gaya hidup tidak sihat yang menjadi punca utama strok kerana ia boleh menyebabkan salur darah tersekat seterusnya merosakkan fungsinya.

“Satu lagi faktor adalah diet. Sekarang ini ramai golongan muda tidak menjaga diet mereka dengan baik hinggakan mereka berisiko mendapat kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung,” jelasnya.

Dr. Loh menambah, semua tabiat itu hanya akan mempercepatkan kemerosotan fungsi sistem kesihatan tubuh dan disebabkan itu juga, risiko strok yang lazimnya terjadi dalam kalangan golongan lebih berusia sudah meluas demografinya .

statistik


PEMULIHAN DAN SOKONGAN

Kajian bagaimanapun mendapati 80 peratus pesakit strok dapat dirawat dengan mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat dan mendapatkan rawatan susulan.

“Apabila diserang strok, pendarahan atau bahagian otak yang terjejas itu mungkin agak besar. Mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri perlu segera dihantar ke hospital. Dalam situasi itu kematian mungkin boleh berlaku.

“Namun, tidak semua serangan strok membawa maut. Jika bahagian yang terjejas itu tidak berapa besar, peluang untuk hidup itu cerah dan pesakit perlu dirawat untuk membolehkan mereka boleh diselamatkan," jelas Perunding Neurologi di ADMC, Dr. N. Ramesh Narenthiranathan.

Rawatan itu juga penting kerana ia boleh mengembalikan kemampuan seseorang pesakit untuk berdikari dalam urusan seharian tanpa bergantung kepada bantuan orang lain.

Katanya lagi, dengan mendapatkan rawatan yang cepat dan mengikuti proses rehabilitasi dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun, pesakit strok boleh pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Rawatan yang pantas dengan proses rehabilitasi membolehkan pesakit strok menjalani kehidupan normal.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ADMC, Su TL Lee, selain mengikuti rawatan khusus, proses pemulihan pesakit juga memerlukan sokongan moral yang kuat daripada keluarga dan masyarakat sekeliling.

"Masa itu penting. Seperti saya katakan, anda perlu kenal pasti simptom strok dan segera ke hospital yang mempunyai fasiliti yang betul, doktor dan pakar dengan teknologi terkini untuk bantu pesakit pulih daripada strok," jelasnya.

Serentak itu, ADMC melancarkan Hotline pertama bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan perubatan terbaik dengan cepat.

Pusat Perkhidmatan Komprehensif Strok yang beroperasi 24 jam sehari itu boleh dihubungi di talian 019-217 9442 atau 03-7839 9987.