Bertempat di Tesco Extra Ara Damansara, Petaling Jaya, program tersebut dilancarkan pada Sabtu oleh Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komuniti Astro, Datuk David Yap bersama Ketua Pengarah Eksekutif Tesco Malaysia, Georg Fischer dan Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco, Datuk Azlam Shah Alias.
Datuk David Yap semasa ditemui Astro Awani berkata, program tersebut menjadi salah satu platform yang dapat memudahkan penyaluran sumbangan bantuan daripada penduduk Malaysia.
“Adalah satu perkara yang baik apabila penduduk Malaysia sangat prihatin dan bersama-sama membantu dalam situasi ini.
“Ini boleh dikatakan sebagai bencana banjir terburuk yang pernah berlaku. Walaupun kita tidak terkesan akibat bencana ini, kita akan sentiasa ada bersama mereka bagi meringankan beban yang ditanggung,” katanya.
Program tersebut mensasarkan 500,000 kilogram nilai makanan di semua stor Tesco di seluruh negara.
Selain makanan, antara barangan yang boleh disumbangkan adalah barang-barang keperluan asas seperti selimut, tuala, lampin pakai buang, tuala wanita, sabun, berus gigi dan pes gigi serta lain-lain barang.
Sumbangan terkumpul akan diterbangkan ke Kota Bharu menggunakan pesawat penerbangan Malindo Air, kemudian diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat penempatan sementara.
Dalam perkembangan sama, Tesco Malaysia setakat ini telah menyumbang barangan makanan berjumlah RM300,000 yang dikumpul sejak dua minggu lepas ketika keadaan banjir semakin memburuk.
MISI KEMANUSIAAN: (Dari kiri) Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco, Datuk Azlam Shah Alias, Datuk David Yap dan Georg Fischer sewaktu pelancaran 'Program Misi Bantuan Kemanusiaan' di Tesco Extra Ara Damansara pada Sabtu. - Foto Astro AWANI/Israr Khalid
Sumbangan wang tunai pula boleh diserahkan di kaunter-kaunter bayaran pasaraya Tesco dan setiap wang yang didermakan, Tesco akan menyumbang nilai yang setanding.Program Misi Bantuan Kemanusiaan Tesco-Astro Kasih akan menjelajah ke seluruh Malaysia bermula di Tesco Extra Ara Damansara, diikuti Tesco Extra Ipoh, Tesco Extra Puchong, Tesco Extra Seremban 2 dan akhir sekali di Tesco Extra Desa Tebrau, Johor.
Bagaimanapun orang ramai masih boleh menghulurkan bantuan dengan meletakkan sumbangan bekalan masing-masing di tempat khas yang tersedia di pasaraya Tesco dan Tesco Extra di seluruh negara pada bila-bila masa bermula 27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015.