'ANJING terkaya di dunia', Gunther VI, kini 'menjual' rumahnya di Miami pada harga AS$31.75 juta (RM132.6 juta).

Hartanah itu sebelum ini pernah menjadi milik legenda muzik pop, Madonna sekitar tahun 90-an.

Rumah mewah dengan sembilan bilik itu disenaraikan di bawah ejen hartanah, Ruthie dan Ethan Assouline.

"Semasa penjaga rumah itu memberitahu saya ia dimiliki seekor anjing, saya tidak percaya.

"Tetapi kali pertama bertemu Gunther VI, ia menunjukkan sikap yang mesra, jadi saya rasa kami boleh bekerjasama," kata Ruthie dalam nada berseloroh kepada Forbes.

Anjing baka German Shepherd itu memiliki kekayaan yang dianggarkan bernilai hampir AS$500 juta, yang diwariskan kepada moyangnya, Gunther III.

Gunther III merupakan anjing peliharaan seorang countess Jerman, Karlotta Liebenstein, yang meninggal dunia pada 1992, lapor The Associated Press.

Hartanah ini pernah dimiliki Madonna satu ketika dahulu.

Liebenstein mewariskan kira-kira AS$100 juta kepada anjingnya itu, dan penjaga yang dilantik kemudiannya melaburkan wang tersebut sehingga ia kini bertambah menjadi hampir lima kali ganda daripada jumlah asal.

Ia turut dibantu pengurusan cemerlang oleh sekumpulan ahli perniagaan Itali yang mengendalikan hartanah tersebut di bawah syarikat The Gunther Group.

Syarikat itu, yang berdaftar di Bahamas, melabur dan memiliki hartanah di seluruh dunia, termasuk di Bahamas, Tuscany, Milan dan Florence.

The Gunther Corporation, anak syarikat The Gunther Group pula memiliki banyak hartanah di Miami. Mereka juga melabur dalam bidang penerbitan, kelab sukan, kelab malam dan penyelidikan saintifik.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !