NAMA Donald Trump mungkin hangat di persada politik Amerika Syarikat, namun anak perempuan beliau Ivanka Trump tidak kurang hebatnya.

Usahawan berusia 34 tahun itu menggegarkan industri fesyen dan teknologi apabila melancarkan beg tangan wanita yang bukan sahaja anggun malah praktikal kerana berupaya mengecas alat peranti.

Menurut laporan Mashable, beg tangan yang dikenali sebagai Rio Tech Sleeve, Soho Tote, dan Turner Shopper mempunyai satu sudut khusus untuk mengecas peranti.

Menurut International Business Times, harga bag milik Ivanka Trump bermula pada harga AS$225 (RM961.54) dan mempunyai pek bateri untuk megecas kuasa bagi gajet seperti Android, Blackberry, iPhone dan iPad.


“Saya menggunakan Rio Tech Sleeve untuk menyusun iPad Mini, kad kredit dan benda-benda lain.

“[Soho Tote] pula sesuai untuk ke gim, jadi anda tidak perlu risau tidak mempunyai kuasa bateri ketika berlari di atas treadmill,” kata Trump kepada Mashable.

Ivanka merupakan anak Donald Trump bersama isteri pertama beliau, Ivana Trump.

Selain menjadi Naib Presiden Eksekutif di Trump Organization, beliau juga mengeluarkan produk fesyen seperti minyak wangi, kasut, dan barang kemas.

Sebenarnya, Ivanka bukan usahawan yang pertama untuk menghasilkan beg yang boleh mengecas alatan elektronik.

Pada Mei 2015, jenama Kate Spade melancarkan enam beg yang boleh mengecas gajet seperti iPhone 5, 5C, 5S, 6, dan 6 Plus.