Sejak beberapa tahun lepas, tidak begitu kelihatan mana-mana pelari mampu menyaingi rekod beliau - tidak mustahil rekod dicipta pada 2009 itu akan kekal buat masa yang lama.
Namun, satu nama - Rudolph Ingram - hangat diperkatakan selepas dia merekodkan catatan masa terbaik 13.48 saat dalam 100 meter.
Agak jauh dari masa direkodkan Bolt namun apa yang mengejutkan, Ingram baru berusia 10 tahun dan ketika catatan masa itu dicapai, dia baru berusia lapan tahun.
Maka tidak hairanlah orang mula melabelkannya sebagai pengganti Bolt malah dia juga kini dikenali sebagai Rudolph ‘Blaze’ Ingram.
Lahir pada 10 Ogos 2011, susuk tubuh kanak-kanak itu amat mengagumkan - mempunyai ‘six pack’ yang kelihatan menonjol.
Ingram kini aktif dalam sukan American Football, bermain bersama Tampa Ravens Football Organization.
Dengan kepantasan dimiliki, kanak-kanak kelahiran Florida itu pantas menjadi bintang di sana.
Ditambah dengan kelicikan menukar arah ketika di atas padang, Ingram seolah-olah sukar untuk dihentikan!
Bapanya yang juga jurulatihnya, Rudolph Sr berkata, anaknya itu mula berlari dan berlatih untuk menyertai pertandingan ketika dia baru berusia empat tahun.
Video di laman Instagram anaknya itu juga memaparkan Ingram menunjukkan beberapa kemahiran mengagumkan.
“Dia bekerja keras, sangat menghormati orang lain, selalu tersenyum dan rendah diri walaupun menjadi tumpuan dunia dan popular.
“Masa depannya begitu cerah. Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripadanya,” katanya seperti dikaporkan stuff.co.nz.
Meskipun ramai seakan tidak sabar untuk melihat kanak-kanak itu menjadi lelaki terpantas di dunia namun Ingram tanpa berselindung menyatakan dia berharap dapat bermain secara profesional dalam American Football.
Dunia pula pastinya mengharapkan anak muda itu menyertai acara larian pecut.
Mungkin satu hari nanti kita dapat menyaksikan nama Bolt diganti pula kepada Blaze!
* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!