KUALA LUMPUR: Bayi atau kanak-kanak yang tidak diberi nutrien yang cukup dalam tempoh 1,000 hari pertama, berpotensi besar untuk mengalami banyak masalah kesihatan dalam jangka masa panjang.

Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, Hospital KPJ Tawakal, Dr Syed Abdul Khaliq Syed Abd Hamid berpandangan ia merupakan tempoh paling kritikal dalam membesarkan seseorang, yang tidak boleh dipandang remeh, terutamanya golongan ibu bapa.

Menurutnya, tempoh berkenaan merupakan tempoh kritikal tumbesaran fungsi organ terutamanya otak.

"Kalau kita tengok 1,000 hari pertama masa paling kritikal dalam kehidupan manusia, masa paling maksimum, perkembangan dan tumbesaran otak..

"Saya bagi beberapa contoh, beberapa kemampuan otak yang berkembang ialah pertuturan, pergerakan dan sebagainya,

"Untuk dua tahun pertama kalau kita tidak cukup zat nutrien atau bahan-bahan penting diperlukan otak, ada banyak kesan jangka kesan masa panjang yang besar akan berlaku," katanya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.


Tambah Dr Syed, fokus perkembangan anak-anak bukan sahaja ketika mereka sedang meningkat dewasa.

Malahan, ia perlu dilakukan seawal bayi berada di dalam kandungan, tentang nutrisi apakah yang akan dibekalkan, sama ada ia berkhasiat, bernutrisi, berzat ataupun tidak.

"Ada banyak kesan jangka panjang, non-communicable disease, pembentukan  plak serangan jantung atau strok ketika dewasa.

"Itu semua bermula bukan sejak kanak-kanak lagi, tetapi masa mengandung.

"Jadi kalau ibu makan tidak berkhasiat pembentukan plak itu bermula daripada perut ibu, jika bayi diberi pemakanan tidak sihat, ia merisaukan," tambahnya lagi.

Katanya, jika ibu bapa benar-benar serius dengan pengambilan makananan berkhasiat untuk tumbesaran anak-anak, mereka seharusnya menjadi contoh dan teladan terlebih dahulu dengan menikmati makanan serupa.

Ini kerana, anak-anak yang sedang membesar sering mempunyai masalah untuk menolak makanan jika individu sekelilingnya tidak menjamu makanan serupa.

"Isunya di sini adalah jika mahu anak-anak berubah, pemakanan ibu bapa juga perlu berubah.

"Tidak boleh la mahukan anak-anak ambil makanan sihat, tetapi mak ayah minum minuman berkarbonat, kopi yang manis-manis.


"Tiap-tiap hari makan yang tak berkhasiat, jadi pemakanan anak yang sihat perlu bermula daripada ibu bapa," katanya lagi.

Awal Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid  mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-Kanak (JKK BBMKK) bagi mengukuhkan Inisiatif 1,000 Hari Pertama Kehidupan.

Mesyuarat JKK BBMKK turut membincangkan pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan (BBM) dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030.

Pelan tersebut menggariskan 31 inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan menerusi lima strategi, antaranya pengukuhan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan serta meningkatkan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan.