Selepas empat tahun berkelana di rantauan demi kerjaya sebagai pelumba Moto3 tunggal Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin bersyukur kerana tahun ini beliau berpeluang bersama-sama keluarga
tercinta untuk meraikan sambutan Aidilfitri.

"Inilah kali pertama saya merasa dapat beraya di kampung halaman sejak saya menyertai perlumbaan MotoGP pada 2009. Tahun ini agak istimewa juga untuk saya kerana selain meraikan Hari Raya, saya juga boleh menjalani ibadah puasa di sini.

"Suasana Hari Raya bagi saya sebelum ini sudah hilang sebab sambutan Hari Raya saya adalah di trek perlumbaan dan fokus saya hanya untuk perlumbaan sahaja," katanya kepada Bernama.

Meskipun memberi tumpuan kepada setiap perlumbaan di luar negara, anak sulung daripada empat beradik itu tidak lupa untuk menghubungi ibu bapanya, Zarinah Parijan, 45 dan Khairuddin Weji, 48.

"Ketika itu (bila beraya di luar negara) saya memang rindukan mereka semua...saya rindu hendak bersalam-salaman di pagi Hari Raya. Setiap kali selepas selesai sesi perlumbaan saya pasti akan menghubungi mereka," katanya.

Pelumba berusia 21 tahun dari Banting, Selangor itu berpeluang menghabiskan cuti musim panas selama tiga minggu bermula 16 Julai lepas dan akan terbang ke Amerika Syarikat pada 11 Ogos ini.

Kesempatan itu beliau gunakan sepenuhnya bersama-sama keluarga untuk menjalani ibadah puasa dan menyambut kedatangan Aidilfitri bersama-sama menziarahi sanak-saudara dan rakan-rakan.

"Saya paling suka makan ketupat, ayam goreng dengan kuah kacang," katanya mengenai juadah kegemaran semasa Hari Raya.

Bagaimanapun, Muhammad Zulfahmi terpaksa menjaga diet dalam beliau menyiapkan diri untuk menghadapi baki sembilan lagi perlumbaan, bermula dengan Grand Prix Amerika Syarikat di Litar Indianapolis pada 16 hingga 18 Ogos depan.

Sekalipun dilanda pelbagai dugaan, dengan keputusan yang semakin merudum dalam beberapa perlumbaan sebelum ini, semangat Muhammad Zulfahmi untuk berada dalam kelompok lima pelumba terbaik tidak pernah padam, malah beliau berjanji untuk kembali bangkit.

"Saya yakin peluang saya masih ada dan berjanji untuk meningkatkan prestasi
tunggangan untuk terus kompetitif dalam baki pusingan perlumbaan," katanya.