KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia membuktikan dirinya masih pemain nombor satu negara selepas berhempas pulas menundukkan rakan senegara Ng Tze Yong di pusingan pertama Masters China sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di arena Gimnasium Teluk Shenzen menyaksikan pemain yang menghuni kedudukan ke-11 dunia itu terpaksa bertarung selama satu jam 15 minit untuk mengetepikan Tze Yong 21-15, 20-22, 21-17 pada perlawanan itu.

"Ini adalah kejohanan terakhir saya untuk musim ini, saya hanya cuba memberikan apa yang saya ada. Tahun ini bukanlah tahun yang baik untuk saya dan tahun ini saya tiada kenangan indah.

Saya baru saja mendapatkan kembali keyakinan saya selepas beberapa kejohanan dan saya akan kembali berusaha untuk mendapatkan keyakinan itu secepat mungkin," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini.

Zii Jia berkata beliau dan pengendalinya Wong Tat Meng telah menyusun perancangan untuk memperkemaskan strategi di atas gelanggang dalam usaha mengembalikan semula momentumnya untuk perlawanan akan datang.

Menanti pemain kelahiran Kedah itu di pusingan kedua adalah wakil tuan rumah, Lu Guang Zu bagi merebut tiket ke suku akhir, esok.

Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah terpaksa menamatkan musim ini seawal pusingan pertama selepas disingkirkan gandingan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong 11-21, 21-15, 20-22.

Menerima nasib sama, beregu campuran Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang ditundukkan mudah pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 17-21, 20-22 dalam pusingan pertama.

-- BERNAMA