ZHANG Weili berjaya mempertahankan kejuaraanya selepas menewaskan Joanna Jedrzejczyk dari Poland dalam acara UFC 248 di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Ahad.

Atlet dari China itu mencatat kemenangan menerusi ‘split decision’ (keputusan berbelah bagi) selepas lima pusingan untuk meraih kejuaraan dunia strawweight wanita UFC.

Kedua-dua petarung dilihat mempamerkan aksi yang sangat cemerlang sepanjang perlawanan tersebut.

Meskipun Jedrzejczyk ternyata lebih berpengalaman bertarung dalam lima pusingan, namun kegigihan dan ketangkasan yang ditonjolkan oleh Zhang berjaya menyekat kemaraan bekas juara lima kali itu.

Kecederaan yang dialami oleh kedua-dua petarung, termasuk Jedrzejczyk yang mengalami bengkak teruk di bahagian dahi, tidak melunturkan semangat mereka untuk memberi persembahan terbaik pada acara tersebut.

Setelah tamat perlawanan, dua juri memberikan mata 48-47 kepada Zhang, manakala seorang lagi juri memberikan mata 48-47 kepada Jedrzejczyk.

Keputusan itu memihak kepada Zhang, sekali gus mengekalkan kejuaraan dunia yang disandangnya.


Zhang yang hanya tewas sekali, turut melebarkan rekod profesionalnya kepada 21-1.

Zhang, 30, merupakan atlet pertama dari Asia yang berjaya meraih kejuaraan dunia di pentas UFC.

Dia meraih gelaran tersebut selepas menumpaskan Jessica Andrade dari Brazil dalam acara UFC Fight Night 157 di Shenzhen, China pada 31 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, dalam acara utama pula, juara bertahan Israel Adesanya turut berjaya mengekalkan kejuaraannya selepas menumpaskan penacabarnya dari Cuba, Yoel Romero.

Petarungan yang berlangsung selama lima pusingan itu menyaksikan atlet dari Nigeria dan New Zealand itu meraih kemengangan menerusi ‘unanimous decision’ (keputusan sebulat suara).

Dengan keputusan tersebut, Adesanya, 30, kini memegang rekod bersih tanpa kalah 19-0.