Beliau berkata walaupun tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Jesper Nyholm dan Firdaus Saiyadi, pasukan masih berjaya mengawal perlawanan dengan baik sekali gus memperoleh kemenangan berharga itu.
Yusri berkata berbaki tiga perlawanan yang bakal dihadapi skuad Bos Gaurus di tempat lawan dan satu di laman sendiri, pastinya bukan tugas mudah selain akan menempuh aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) awal bulan depan di Iskandar Puteri.
"Mereka faham apa harus dilakukan dan mengikut perancangan ditetapkan malah pasukan mendapat tiga mata berharga dengan jurang gol yang cukup besar untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam liga.
"Saya percaya kemenangan pada malam ini (semalam) akan menaikkan semangat mereka bagi menghadapi JDT di Stadium Sultan Ibrahim namun kita tidak boleh dibuai terlalu lama dan fokus kita akan dialihkan kepada aksi Piala Malaysia pula," katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Pada perlawanan itu Perak FC 'membelasah' Kelantan FC 8-0 di Stadium Perak, Ipoh.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan FC Alfredo Vera berkata kebanyakan pemain muda yang ditampilkan masih kurang pengalaman selain pasukan tidak mempunyai pemain yang mampu menguasai permainan.
"Tidak mudah untuk kami beraksi dengan baik dan tentu amat susah untuk pemain-pemain muda dengan minit permainan yang sedikit selain terpaksa berdepan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman termasuk pemain-pemain import.
"Strategi untuk perlawanan seterusnya tetap sama dan kita akan bekerja keras dan bermain semaksimum mungkin dan pemain-pemain tidak salah kerana mereka telah berusaha sepenuh hati untuk pasukan ini, cuma pengalaman yang membezakan," katanya.
-- BERNAMA