Serena Williams berjaya mara ke pusingan akhir Wimbledon dan mungkin berdepan kakaknya, Venus selepas menewaskan pemain Rusia Elena Vesnina dalam masa 48 minit pada Khamis.

Serena, 34, kini memburu untuk mempertahankan kejuaraan tenis Wimbledon seterusnya dengan menewaskan pemain ranking ke-50 dunia itu 6-2, 6-0.

Juara bertahan itu berkemungkinan berdepan Venus buat kali kelima dalam kejuaraan Wimbledon dan kali kesembilan dalam keempat-empat kejuaraan major.

Venus, 36 berdepan dengan pemain Jerman Angelique Kerber, juara Terbuka Australia, dalam separuh akhir kedua pada Khamis.

Serena yang beraksi dalam separuh akhir Grand Slam ke-32, menundukkan Vesnina di gelanggang Centre Court di sini. Turut hadir ialah Putera William dan isteri, Kate yang menonton di dek DiRaja.