Perenang sensasi negara, Welson Sim mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih pingat emas dalam acara 200m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2018 hari ini.

Lebih manis lagi, Welson turut mencatat masa terbaik musim ini, 1:47.97s, sekali gus mengatasi rekod lama kejohanan miliknya dalam saingan akhir acara berkenaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil.

"Saya terkejut dengan catatan masa direkodkan kerana masih cedera di kaki. Pada awalnya, saya hanya berharap mencatat 1:50s, tidak jangka dapat buat 1:47s. Ia memberi motivasi kepada saya untuk beraksi lebih baik pada Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

"Ini kali kedua saya perbaharui rekod musim ini, kedua-duanya pada kejohanan dalam negara. Agak kecewa kerana tidak dapat lakukan ketika Sukan Komanwel. Jika dilakukan di Gold Coast, mungkin saya boleh ke final," katanya yang mewakili Sarawak pada kejohanan berkenaan.

Pingat perak acara tersebut dimenangi Sajan Prakash dari India, dengan catatan 1:51.44s, manakala pingat gangsa menjadi milik perenang Selangor, Yeap Zheng Yang (1:52.77s).

Hanya ketinggalan 0.61s berbanding rekod kebangsaan miliknya iaitu 1:47.36s, Welson berkata catatan itu lebih baik daripada aksi di Gold Coast, dan berharap dapat meneruskan momentum cemerlang itu pada aksi seterusnya.

Dalam pada itu, Welson yang bergandingan dengan Vernon Lee Jeau Zhi, Hii Puong Hou dan Job Tan Xi Jay menyumbangkan pingat gangsa kepada kontinjen Sarawak dalam acara 4x100m gaya bebas lelaki.

Sementara itu, turut meraih pingat emas adalah Chan Jie dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki selepas mencatat 24.90s manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Sajan Prakash (25.03s) dan perenang Hong Kong, Ho Tin Long (25.20s).

Bagi acara 200m rampaian individu lelaki, Jordan Yip (2:07.72s) yang mewakili Selangor meraih pingat emas, diikuti Fung Chun Ho dari Hong Kong (2:09.36s) dan Sebastian Soon dari Kuala Lumpur (2:09.54s).

Perenang muda dari Selangor, Rosalind Pang yang mencatat masa 2:23.47s dalam acara 200m kuak lentang wanita menyumbangkan pingat emas pertama buat Malaysia pada kejohanan edisi ke-61 itu.

Acara wanita didominasi perenang dari Hong Kong.

-- BERNAMA