Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim memasang impian besar dalam penghijrahan mereka ke Kelab Devisyen Tiga Jepun, FC Rryukyu.

Ia apabila kedua-dua pemain Harimau Muda A itu bertekad untuk membarisi kesebelasan utama pasukan tersebut secepat mungkin.

Wan Zack berkata, "Bagi seorang pemain apabila pergi kelab baru perasaan dan semangat berkobar-kobar untuk bermain dalam ‘first eleven’ sebab kita hendak menunjuk sesuatu kepada kelab baru."

Wan Zack mengikat kontrak selama dua tahun, manakala Nazirul diberi kontrak satu tahun dan ia bermula secara rasmi 23 Mac lalu.

Buat kedua-dua pemain itu, ia merupakan perncapaian terbaik dalam karier mereka ketika berdepan dengan misi penting hujung tahun ini.

Nazirul berkata, "Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tahun ini, sasaran saya adalah untuk bermain di Sukan Sea dan pertahankan pingat emas melalui itu saya akan pelajari banyak dan bawa balik ke sini."

Kedua-dua pemain itu juga optimis untuk menghadapi cabaran di kelab yang berpangkalan di Okinawa itu walaupun berbeza budaya dan pemakanan.

Mereka ditemui pada sidang media sebelum berangkat ke Jepun di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Isnin.
Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif FC Ryukyu, Sotaro Shinoda.