PAUL Pogba menggambarkan kesempatan mewakili Perancis memberinya "nafas segar" di sebalik situasi suramnya di Manchester United.

Pogba melengkapkan 90 minit permainan ketika N'Golo Kante menjaringkan gol tunggal kemenangan ke atas Portugal dalam perhitungan Liga Negara-Negara (UNL) di Lisbon, pada Sabtu.

Didier Deschamps masih menganggap bekas pemain Juventus itu sebagai tunjang pasukannya yang mengungguli Piala Dunia 2018, agak berbeza dengan kemerosotan prestasi Pogba di United.

Pemain berusia 27 tahun itu baru memulakan separuh daripada 10 perlawanan buat United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

"Ini adalah satu tempoh yang tidak pernah saya tempuhi dalam karier saya," kata Pogba kepada RTL.

"Pasukan kebangsaan Perancis memberikan saya kesegaran. Kami sangat gembira dapat berkumpul di sini dan bertemu di antara satu sama lain. Ia tidak sama seperti di kelab.

"Kami semua dapat berkumpul bersama, ini satu keajaiban. Kami sedar bahawa semua pemain berasa seronok datang ke mari dan ia sesuatu yang berbeza."


Pogba berasa kejayaan memungut tiga mata ketika menentang sebuah negara yang menewaskan Perancis di gelanggang sendiri dalam final Euro 2016 merupakan tindak balas sempurna bagi menebus kekalahan 0-2 kepada Finland minggu lalu.

"Kami masih bersemangat, gembira dan memang benar kami menikmati kemenangan ini," katanya.

"Kami beraksi seperti sebuah pasukan yang matang. Kami bersatu ketika menyerang dan bertahan, inilah perasaannya ketika kami menjulang Piala Dunia.

"Kami bingkas bangkit selepas kekalahan kepada Finland dan kami akan mengingatinya."

Walaupun prospek masa depannya di Old Trafford tampak semakin tidak menentu, Pogba sedar dengan tanggungjawab yang perlu digalas bersama Perancis bagi meneruskan kegemilangan seperti di Russia, dua tahun lalu.

"Matlamat kami adalah memenangi Euro," tambahnya.

"Kami mahu menang. Tidak ada ertinya jika kami gagal melangkah jauh.

"Kami perlu meneruskan kejayaan Piala Dunia."