KUALA LUMPUR: Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim bersama gandingannya Luca Stolz mengungguli carta kejuaraan GT World Challenge Fanatec GT3 Asia selepas mendapat penamat podium di Mobility Resort, Motegi, Jepun hari ini.

Selepas menamatkan perlumbaan pertama di tempat keempat semalam, gandingan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) yang menggunakan jentera Mercedes-AMG GT3 terus cemerlang dengan menamatkan cabaran perlumbaan kedua di tempat kedua.

"Saya harap kita dapat teruskan momentum ini dan menamatkan musim di kedudukan teratas. Mudah-mudahan kita dapat penamat podium dalam dua perlumbaan pusingan akhir di Sepang nanti.

"Kita sentiasa beraksi dengan hebat di sana (Sepang) dan berharap ia tetap sama tahun ini," katanya Tunku Abu Bakar dalam kenyataan hari ini.

Seorang lagi putera Sultan Johor Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya Broc Feeney pula menamatkan saingan di tempat ke-13.

Pusingan kesembilan dan ke-10 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama pada 18 hingga 20 Ogos, namun pasukan JMR akan kembali beraksi hujung minggu depan pada siri kejuaraan GT World Challenge Fanatec Australia.

-- BERNAMA