Switzerland diejek penyokong sendiri sebelum bangkit mengatasi Ecuador 2-1 di Estadio Nacional de Brasilia.

Bagaimanapun dua penyerang gantian muncul wira buat pencabar Eropah itu apabila membalas kepercayaan yang diberikan dengan gol.

Anak buah Ottmar Hitzfeld yang diangkat selaku pilihan Kumpulan E bagaimanapun tersentak apabila tandukan pemain La Tri, Enner Valencia tidak dapat diselamatkan penjaga gol Diego Benaglio hasil daripada sepakan percuma pada minit ke-22.

Bagaimanapun Switzerland bertindak balas dengan pantas sebaik wisel separuh masa kedua bermula apabila Admir Mehmedi menjaringkan gol penyamaan mirip pihak lawan.

Switzerland
(AP Photo/Marcio Jose Sanchez)

Switzerland yang memiliki pemain bintang seperti Xherdan Shaqiri, Gokhan Inler dan Valon Behrami berusaha keras untuk menembusi benteng Ecuador.

Perlawanan berlarutan dengan aksi rancak kedua pasukan yang mempunyai keazaman tinggi untuk menang. Tetapi sikap beberapa pemain Switzerland yang cuba memperlahankan rentak permainan diejek penyokong sendiri ketika mereka menjangkakan tiga mata perlu diraih dalam perlawanan ini.

Kemudian sesuatu yang dramatik berlaku dalam tambahan masa tiga minit yang mengubah keputusan perlawanan.

Pemain tengah menyerang Ecuador Michael Arroyo lambat melakukan rembatan dan Switzerland menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan serangan balas.

Switzerland
(AP Photo/Martin Mejia)

Dalam gerakan itu seorang pemain Ecuador mengasari Behrami di kawasan tengah tetapi pengadil dari Uzbekistan, Ravshan Irmatov melakukan tindakan tepat dengan membenarkan permainan diteruskan berdasarkan peraturan 'advantage'.

Ricardo Rodriguez melakukan larian dari sebelah kiri sebelum melakukan hantaran rendah di depan gol untuk disudahkan Haris Seferovic.