Trofi bola sepak paling berprestij iaitu trofi Piala Dunia tiba di Malaysia hari ini dalam siri jelajah piala itu ke 88 buah negara.

Pusat Penyiaran Asia (Astro) Bukit Jalil merupakan lokasi persinggahan pertama trofi itu di Kuala Lumpur sebelum ia dipersembahkan kepada orang ramai pada Ahad ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kembara trofi itu bermula dari Rio de Janeiro, Brazil pada 12 September lalu.

Trofi yang menjadi dambaan dunia itu tiba di Malaysia setelah menjelajah ke Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Ketibaannya disambut dalam sesi fotografi bersama warga Astro di Bukit Jalil sebahagian daripada kempen promosi trofi piala dunia 2014 anjuran rakan kongsi FIFA, Coca-Cola.
 
"Ini adalah kali ke-3 kami melakukan jelajah trofi iaitu pada 2006 dan 2010. perbezaan kali ini adalah kami mengisytiharkan kempen ini sebagai piala milik dunia di mana ini adalah program paling besar dan menyeluruh pernah kami lakukan bersama rakan-rakan kongsi sukan kami." kata Agustinus Gunadharma, Pengarah Francais Coca-Cola.

Astro yang juga dipilih sebagai penyiar rasmi piala dunia di Malaysia dan brunei akan menyiarkan 64 perlawanan secara langsung menerusi 10 saluran sukan astro dari 12 Jun hingga 13 Julai nanti.

Buat pertama kali juga peminat boleh menonton perlawanan menerusi Astro-On-The-Go.
 
"Kami akan menyiarkan pelbagai program sampingan seperti perlawanan klasik dari beberapa tahun dahulu menjelang perlawanan akhir piala dunia 2014. kami juga menyiarkan kesemua 64 perlawanan secara langsung dalam definisi tinggi selain siaran dalam bahasa melayu di astro arena untuk perlawanan bola yang terpilih." kata Lee Choong Khay, Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro.

Lokasi seterusnya trofi piala dunia FIFA adalah Indonesia pada Isnin sebelum ke negara-negara benua Latin Amerika.

Ia dijangka mengambil tempoh masa 267 hari dengan jarak perjalanan meliputi kira-kira 150 ribu kilometer sebelum kembali ke Brazil yang akan menjadi tuan rumah kejohanan piala dunia 2014.