TOTTENHAM HOTSPUR 2 CRYSTAL PALACE 0

Mauricio Pochettino berkata pasukannya, Tottenham Hotspur, perlu memulakan fasa baru selepas berpindah ke stadium mereka dan merancang untuk memastikan pasukan itu mampu bersaing bagi mendapatkan "perkara besar".

Spurs membuka perlawanan di stadium baru mereka, Stadium Tottenham Hotspur, dengan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace hasil jaringan Son Heung-min dan Christian Eriksen, awal pagi tadi.

Kemenangan itu mengembalikan mereka ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris -- memintas Arsenal yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Pochettino dan pasukannya dikritik hebat ekoran kegagalan mereka meraih sebarang kejuaraan, namun pengurus itu kini berkeyakinan kelab London berkenaan sudah bersedia untuk melakar kejayaan.

"Kami sudah menutup buku lama dan sudah mula untuk memikirkan buku baru, era baru Tottenham," katanya dalam sidang media.

"Kami perlu menyelesaikan semua prinsip bagi memastikan Tottenham dapat menjadi pesaing sebenar untuk merebut perkara besar kerana dengan padang latihan dan stadium baru, anda perlu memikirkan sesuatu yang besar.

"Jika kami tidak mampu untuk menyasarkan sesuatu yang besar, kami akan bergelut.

"Ia akan menjadi amat memalukan andai kami tidak berfikiran besar dan mula untuk berkelakuan seperti seperti pasukan besar kerana selepas membina padang latihan dan stadium, kami perlu menjadi pencabar realistik untuk perkara-perkara besar dan masa depan kelab ini," katanya.

Pochettino menambah: "Ia merupakan projek yang hebat, namun kami mempunyai banyak tugasan untuk dilakukan.

"Ia sudah pasti berdasarkan tahap kelab-kelab seperti ini.

"Tottenham merupakan juara dunia dalam aspek fasiliti. Saya berasakan kami mempunyai yang terbaik di dunia.

"Sehingga kini, keseimbangannya seperti ini, pasukan ini beraksi dalam Liga Juara-Juara dengan stadium yang teruk, namun kini, stadium ini lebih baik berbanding pasukan dan kami perlu memastikan ia setaraf dengan aksi di atas padang," tambahnya.