BERBEKALKAN sokongan seluruh rakyat Malaysia, atlet negara melengkapkan langkah perbarisan di acara pembukaan Olimpik Tokyo 2020 dengan penuh rasa bangga.

Berpakaian segak bergaya, yang diinspirasikan dari pemakaian Laksamana Hang Tuah bagi atlet lelaki dan lengkap berdokoh serta berselendang bagi persalinan wanita.

Identiti Malaysia terserlah dengan pakaian yang berasal dari hasil rekaan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying mengukir senyuman yang cukup bermakna, dengan kejayaan untuk dibawa pulang.

Corak geometrik pakaian 13 orang atlet tanah air yang terlibat dalam perbarisan adalah berasaskan segi tiga atau chevron yang memberi kesan rangsangan arah tuju yang jelas dalam mencapai matlamat pingat yang terbaik untuk negara.




Warna pemakaian tersebut diadaptasi dari Jalur Gemilang yang mempunyai empat warna iaitu warna putih, kuning, merah dan biru.

Antara 13 atlet negara yang mewakili kontinjen dalam perbarisan adalah Ketua Sekretariat Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib, tiga orang sektretariat, Norhashimi Hussain, Mohd Fawwaz Jamal, Azrul Hisyam Abdul Jalil, Ketua Pegawai Perubatan, Dr Kamarul Hashimiy Hussein.

Termasuk dua orang pembawa bendera, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying, tiga atlet terjun, Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, dua atlet renang, Phee Jinq En dan Welson Sim Wee Sheng serta atlet gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi.