PATHUM THANI: Penyingkiran Malaysia daripada kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 boleh menjadi titik permulaan buat semua pemain yang membentuk skuad Harimau Malaya kali ini, kata pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar.

Meskipun kekalahan kepada juara bertahan Thailand sukar diterima, pemain muda Selangor FC itu berkata segala kelemahan yang terbukti, perlu diperbaiki menjelang Piala Asia 2023 di Qatar dijadual pada Jan 2024.

Dari segi persembahan menentang Thailand, Sharul Nazeem berkata Malaysia tampil dengan pendekatan taktikal sama dalam kedua-dua aksi separuh akhir sekali gus menampakkan secara keseluruhan Thailand sebagai pasukan lebih bagus.

"Semestinya kekalahan ni kami tak boleh nak terima...saya rasa inilah titik permulaan bagi kami. Kami mungkin sedikit penat tetapi tetap berjuang, saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang berjuang habis-habisan, saya rasa banyak kami perlu perbaiki untuk Piala Asia nanti.

"Perlawanan ini mungkin disebabkan kelemahan kami, mungkin Thailand tahu kelemahan kami jadi kami perlu perbaiki apa yang mereka lakukan terhadap kami," kata pemain berusia 23 tahun itu selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Thammasat di sini, malam tadi.

Pada pertembungan itu, Gajah Perang menang 3-0 menerusi tandukan penyerang prolifik Teerasil Dangda pada minit ke-19 sebelum pemain sayap Bordin Phala dan penyerang gantian Adisak Kraisorn, masing-masing mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-55 dan 71.

Malaysia, juara 2010, tewas dengan keputusan agregat 1-3.

Thailand akan membuat perhitungan menentang juara dua kali, Vietnam, pada perlawanan final secara timbal balik Jumaat ini dan Isnin minggu depan.

Mengulas lanjut, Sharul Nazeem mengakui terdapat perbezaan kualiti antara pemain negara dan Thailand serta berbangga dengan pencapaian mara ke separuh akhir dilakar mereka.

"Pemain mereka ada yang bermain di luar negara, jadi pengalaman lagi tinggi berbanding dengan pemain kami macam (main) di Thailand, jadi kami kalah dekat situ...tapi kami tetap bangga sampai separuh akhir, kita perlu teruskan fokus untuk Piala Asia," katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala AFF 2022 ini diperkuatkan oleh kebanyakan muka baharu selepas kira-kira 14 pemain utama tidak dapat menyertai atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Pencapaian mara ke separuh akhir kali ini menyaksikan Malaysia memperbaiki rekod tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan pada edisi lepas, yang juga membawa kepada keputusan bekas Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan.

-- BERNAMA