KUALA LUMPUR: Satu lagi berita baik menanti bekas ratu terjun negara Datuk Leong Mun Yee, selepas beliau dianugerahkan pingat membawa gelaran Datuk, baru-baru ini.

Ini berikutan berita yang menyatakan Mun Yee sudah hampir pasti akan dilantik secara rasmi sebagai pembantu jurulatih kepada skuad terjun negara bermula bulan hadapan.

Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS) Mae Chen berkata Mun Yee akan diberikan tugasan untuk melatih atlet di bawah program Podium, jika Majlis Sukan Negara (MSN) menyampaikan kontraknya tidak lama lagi.

"Kami telah bawa isu pelantikan Mun Yee dalam mesyuarat bersama MSN pagi tadi, dan mereka secara dasarnya bersetuju dengan cadangan kami melantik beliau sebagai pembantu jurulatih kepada Li Rui (jurulatih kebangsaan)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Mae berkata pada masa ini MS membayar elaun Mun Yee, kerana atlet yang beraksi di lima edisi Sukan Olimpik itu menawarkan khidmatnya untuk melatih penerjun kebangsaan sejak bulan lepas.

"Semua kontrak di bawah MSN adalah setahun, jadi saya rasa dalam situasi Mun Yee, saya percaya kontrak beliau akan tamat Mac 2023, jika beliau menerima kontrak tersebut," katanya.

Selasa lepas, Mun Yee merupakan antara 59 individu yang menerima pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Wilayah 2022 yang dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Mun Yee yang mula terlibat dalam sukan terjun pada usia 10 tahun, merupakan antara penerjun negara yang paling banyak memenangi pingat, termasuk pingat perak di Sukan Komanwel 2010 di India, gangsa di 2014 Sukan Asia di Korea Selatan dan dua pingat emas di Sukan SEA KL 2017.

Beliau juga bersama Pandelela Rinong, menjadi penerjun pertama negara memenangi pingat gangsa dalam acara terjun platform 10 meter wanita seirama di Kejuaraan Dunia FINA 2019 di Rome, Itali, dan tercatat dalam buku Malaysia Book of Records sebagai atlet wanita tempatan layak ke empat Sukan Olimpik pada 2012.

Selain Mun Yee, Mae memaklumkan mereka sedang menunggu ketibaan seorang lagi pembantu jurulatih kepada Li Rui, Li Jun Bao dari China bulan hadapan, yang sedang menunggu kelulusan permit kerja daripada pihak berkuasa.

Beliau percaya Jun Bao akan dapat serasi dengan penerjun negara terutamanya dalam berkomunikasi dengan mereka, selepas bekas penerjun berusia 30 tahun itu berhadapan dengan masalah itu, ketika beliau melatih penerjun Brazil sebelum ini.

"Lagi pun, Malaysia tidaklah terlalu jauh daripada tanah airnya di China dan yang penting ialah, kebanyakan penerjun kita boleh bercakap dalam bahasa Mandarin," katanya.

-- BERNAMA