Medvedev mara ke suku akhir dengan kemenangan 6-3, 6-4, 6-3 ke atas pemain pilihan ke-24, Dan Evans, di New York sebentar tadi.
Finalis Terbuka AS 2019 dan naib juara Terbuka Australia tahun ini itu masih belum melepaskan sebarang set dalam kempen di Flushing Meadows kali ini.
Menjelang pertembungan dengan pemain kelayakan dari Belanda, Botic Van De Zandschulp, bintang Russia itu menaruh harapan tinggi bahawa edisi ini mampu memenuhi impiannya.
"Saya selalu mengatakan bahawa saya menumpukan satu persatu pertarungan," katanya kepada wartawan selepas sejam 43 minit permainan.
"Saya boleh kalah dalam pusingan pertama, saya juga boleh kalah dalam final. Sekiranya saya beraksi bagus, maka saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Adalah sukar untuk mengalahkan saya.
"Di Wimbledon, sejujurnya saya tewas kepada kehebatan Hubert. Saya rasa dia sedang meningkat naik. Dia akan berada di kedudukan yang lebih baik dan mungkin dia akan melangkah lebih jauh dalam Grand Slam. Selepas itu dia juga menyingkirkan Roger Federer.
"Tetapi saya bukan bercakap bahawa saya berasa lega dengan kekalahan itu. Saya bercakap mengenai keputusan keseluruhan dan pusingan keempat tidak memadai buat pemain nombor dua dunia, lebih-lebih lagi saya lebih menggemari gelanggang rumput daripada tanah liat, jadi kalau di atas tanah liat saya mungkin tidak akan bercakap seperti ini.
"Ya, ia tetap sama keadaannya dalam setiap kejohanan. Saya diletakkan pilihan kejohanan tetapi tidak berada di final misalnya dalam Cincinnati. Saya kalah kepada Rublev dalam satu perlawanan sengit, tapi dia memberikan satu persembahan yang luar biasa. Tetapi berdasarkan keputusannya, melangkah ke separuh akhir bukanlah cukup bagus bagi saya.
"Tidak banyak yang perlu saya tambah lagi. Saya mahu menjuarai setiap kejohanan yang disertai tanpa memberi tekanan kepada diri sendiri.
"Sekali lagi, saya tahu bagaimana untuk memenangi pertarungan dan kadang-kadang saya tahu punca saya tewas jadi ia satu pembelajaran dan menjadi lebih baik."