KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong memulakan kempen Terbuka China dengan bergaya apabila mengejutkan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2023 H.S Prannoy pada pusingan pertama di Changzhou, hari ini.

Bagaimanapun, pemain negara di ranking ke-22 dunia itu terpaksa bermandi peluh sebelum mengetepikan wakil India 21-13, 13-21, 21-18 dalam pertembungan yang berlarutan lebih satu jam di Olympic Sports Centre Gymnasium.

Tze Yong bakal berdepan pemain Indonesia Shesar Hiren Rhustavito pada pusingan kedua. Shesar Hiren sebelum itu telah menewaskan Pryanshu Rajawat dari India 21-13, 26-24.

Sementara itu, gandingan Pearly Tan-M.Thinaah turut mara ke pusingan kedua selepas mengecewakan lawan mereka dari Belanda Debora Jille-Cheryl Seinen17-21, 21-17, 21-10.

Beregu wanita utama negara itu akan membuat perhitungan sama ada berdepan pilihan kelima dari Jepun Yuki Fukushima-Sayata Hirota atau gandingan Jerman Linda Efler-Isabel Lohau.

Beregu campuran profesional negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing melangkah ke pusingan kedua selepas mengecewakan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 25-23, 21-15.

Kian Meng-Pei Jing akan berdepan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia yang mengejutkan wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-16, 12-21, 21-16.

-- BERNAMA