Ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim berpuas hati dengan keputusan 6-2 yang dicatat anak buahnya ketika membenam Tajikistan pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-16, pada Khamis.

Teong Kim menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan baik buat pasukan dan mampu menyuntik semangat barisan pemainnya yang akan mengharungi dua lagi perlawanan berdepan Thailand dan Jepun untuk memburu tempat ke Piala Dunia 2019 Bawah 17 Tahun (B-17) di Peru.

"Saya sangat berpuas hati kita memenangi perlawanan pertama kerana kita mengharapkan permulaan yang sempurna. Pemain juga beraksi dengan baik sebelum hujan.

"Walaupun keputusan 6-2 jumlah jaringan yang besar, namun ia perlawanan yang sukar dan pemain terpaksa bekerja keras hari ini," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, empat jaringan menerusi penyerang Luqman Hakim Shamsudin diikuti dua gol, masing-masing melalui Muhammad Najmudin Akmal dan Muhamad Alif Mutalib membantu Malaysia meraih tiga mata berharga.

Namun, persembahan terpuji dipamerkan skuad kebangsaan dicemari dengan layangan kad merah oleh pengadil kepada penjaga gol Sikh Izhan Nazrel susulan terjahan keras yang dilakukan pada penghujung perlawanan.

Teong Kim, bagaimanapun tenang menerima keputusan itu dan mempertahankan pemainnya dengan menyifatkan kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Katanya, ketiadaan Sikh Izhan yang berdepan penggantungan perlawanan akan membuka peluang kepada pemain di bangku simpanan untuk mempamerkan kemampuan mereka.

"Kita mempunyai 23 pemain dan semuanya bagus. Ia juga peluang terbaik kepada pemain simpanan membuktikan kemampuan mereka. Pasukan ini program pembangunan remaja, jadi kita tidak hanya bergantung kepada pemain tertentu, sebaliknya kepada kelompok pemain," katanya.

Malaysia akan bertemu Thailand pada aksi kedua Ahad ini, sebelum melengkapkan jadual aksi peringkat kumpulan berdepan Jepun pada Rabu depan. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di venue sama.

-- BERNAMA