RAFAEL Nadal dan Stefanos Tsitsipas bakal berentap merebut gelaran Terbuka Barcelona malam tadi selepas mereka layak ke final.

Nadal mengatasi rakan senegara dari Sepanyol, Pablo Carreno Busta, 6-3, 6-2 bagi selangkah sebelum dijulang sebagai juara buat kali ke-12 di Real Club de Tenis Barcelona 1899.

Pilihan utama itu menang 77 peratus mata dalam servis pertama dalam persembahan yang penuh gah beraksi di gelanggang tanah liat.

Nadal merampas servis pertama Carreno Busta dan cemerlang mendominasi set pertama 5-1 di Pista Rafael Nadal.

Lawannya berusaha untuk bangkit, namun pemain ketiga dunia itu terus menampilkan permainan cemerlang sebelum menamatkan perlawanan dalam tempoh satu jam setengah untuk bertemu Tsitsipas, yang mengatasinya dalam Terbuka Australia di peringkat suku akhir Februari lalu.


Tsitsipas mengekalkan rentak ketika menang 6-3, 6-3 ke atas Jannik Sinner.

Wakil Greece itu sebelum ini menang Masters Monte Carlo dan menyamai bilangan kemenangan Andrey Rublev dalam jelajah ATP dengan 26 kemenangan musim ini ketika mengatasi Sinner.

Pilihan kedua itu kejohanan itu menang kesemua 17 set dimainkan di atas gelanggang tanah liat musim ini.