Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif dijangka meletak jawatan sewaktu mesyuarat majlis persatuan itu di Subang esok.

Menurut sumber BAM, kesihatan Tengku Mahaleel yang menduduki kerusi berkenaan sejak 2013 tidak begitu mengizinkan dan berikutan itu, besar kemungkinan memilih melepaskan jawatan itu walaupun tempohnya hanya akan berakhir pada 2017.

"Kesihatan Tan Sri (Tengku Mahaleel) tidak berapa baik, mungkin akan ada pengumuman penting esok, jadi tunggu esok untuk kenyataan rasmi," kata sumber dalaman BAM hari ini.

Tengku Mahaleel juga dikatakan tidak disenangi kebanyakan anggota Majlis BAM kerana jarang berada di Kuala Lumpur, sekali gus menyukarkan kelancaran tugas di BAM berikutan masih menetap di Kota Baharu.

Namun difahamkan peletakkan jawatan itu sudah dijangkakan sebelum ini malah menurut sumber lain, ia telah diatur serta dipersetujui oleh empat orang termasuk Tengku Mahaleel sendiri.

Malah ketika ini, sudah berlaku pergeseran dalam menentukan siapa yang bakal memangku jawatan itu di antara dua Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid dan Datuk Seri Norza Zakaria.