Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi penggal 2018-2022 selepas Kongres Luar Biasa (EGM) persatuan itu pada Khamis.

Bagaimanapun, kongres tersebut menyaksikan hampir 90 peratus perubahan berlaku pada barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS yang turut melibatkan jawatan Timbalan Presiden dan dua daripada empat kerusi Naib Presiden.

Jawatan Timbalan Presiden FAS disandang oleh Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang menang tanpa bertanding sementara Naib Presiden dimenangi Hamdan Hashim dan Roslin Shariff.

Sementara itu, Datuk Ariffin Ab Hamid dan Omar Ali yang menyandang jawatan Naib Presiden sebelum ini dipilih semula menyandang jawatan tersebut.

Sebagai rekod, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik sebagai Presiden baharu FAS pada kongres Julai lalu menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal.

Namun, segelintir ahli gabungan FAS mendesak supaya kongres luar biasa itu diadakan semula selepas mendakwa hak dan kepentingan ahli gabungan ditindas dan diketepikan termasuklah pemecatan 55 individu dan wakil dari kelab gabungan menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

-- BERNAMA