Ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K. Rajagobal diharap dapat mengotakan janji layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata badan induk itu sudah mempunyai rancangan jika Rajagobal gagal dalam misinya kali ini.

"Saya harap Rajagobal mampu beri kejayaan. FAM sudah ada penilaian dan pelan untuk dia. Saya tidak berani untuk nyatakan siapa dan bila. Biar dia fokus untuk perjuangan dan misinya." katanya selepas mesyuarat Konfederasi Hoki Malaysia MHC di Kuala Lumpur, pada Ahad.

Katanya lagi, ia juga penting buat Rajagobal untuk memastikan suasana kem negara berada dalam keadaan harmoni bagi meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan kali ini.

Tengku Abdullah turut mengingatkan agar pengendali berusia 57 tahun itu tidak terlalu cepat berpuas hati kerana perjalanan ke Australia masih terlalu jauh.

Lantas, baginda berharap Rajagobal mampu membawa skuad negara ke tahap yang lebih jauh dalam saingan tersebut.

"Semua orang mesti memberi sokongan kepada dia tetapi dia mesti tahu apa yang dia buat," ujarnya lagi.

Rajagobal sebelum ini menyatakan layak ke Piala Asia adalah sasaran utamanya selepas menjulang dua gelaran Sukan Sea 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.