KUALA LUMPUR: Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China dari 20 hingga 23 Sept ini nyaris dibatalkan susulan kawasan sekitar venue pertandingan dilanda Taufan Pulasan.

Presiden ASTAF Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan berkata majlis perasmian kejohanan yang pada asalnya dijadualkan pada 7.30 malam esok (waktu tempatan) terpaksa ditunda sehari.

Beliau berkata bencana alam yang berlaku pada 17 Sept itu menyebabkan air laut melimpah ke pantai sekali gus menjejaskan gelanggang kejohanan yang disertai lapan negara termasuk China selaku tuan rumah.

"Kerajaan bandar raya Qingdao memaklumkan bahawa Taufan Pulasan mungkin melanda semula dan memberi amaran bahawa paras air laut boleh meningkat sehingga dua meter pada 19 Sept.

"Demi keselamatan pemain dan pegawai, ASTAF pada mulanya mempertimbangkan untuk membatalkan kejohanan. Bagaimanapun setelah menilai keadaan gelanggang utama yang tidak terjejas serta beberapa pasukan sudah tiba untuk penyesuaian awal kami memutuskan untuk menunda perasmiannya," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata masa perasmian kejohanan kekal pada 7.30 malam diikuti perlawanan pertama regu lelaki antara Thailand dan Korea Selatan pada 8 malam.

Abdul Halim yang juga Pengarah Teknikal Kejohanan menambah pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca dengan kerjasama penganjur dari China selain mengambil langkah berjaga-jaga.

"Sekiranya keadaan cuaca semakin buruk dan membahayakan keselamatan pemain, pegawai serta penonton, ASTAF dan penganjur tidak akan teragak-agak untuk membatalkan kejohanan ini," katanya.

Kejohanan tersebut turut disertai Malaysia, Thailand, India, Vietnam, Korea Selatan, Iraq dan Filipina yang mempertandingkan dua acara iaitu regu (lelaki dan wanita) dan trio (lelaki).

-- BERNAMA