PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula syarat penyertaan minimum bagi acara yang dipertandingkan di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).


Ringkasan AI
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula syarat penyertaan minimum bagi acara di Sukan Malaysia (SUKMA) untuk membolehkan lebih banyak acara sukan dipertandingkan walaupun kurang dari enam negeri menyertainya.
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan bahawa perubahan ini bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada atlet untuk bertanding dan memudahkan pencarian pelapis atlet kebangsaan.
  • Hannah juga menggalakkan rumah ibadat di seluruh Malaysia untuk menganjurkan aktiviti sukan bagi warga emas, dengan peruntukan RM10,000 untuk menyokong usaha ini.


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata langkah itu bagi membolehkan acara sukan terus dipertandingkan walaupun tidak mendapat penyertaan daripada sekurang-kurangnya enam negeri, iaitu syarat yang diguna pakai ketika ini.

Beliau berkata dengan meminda syarat penyertaan minium itu, ia memberi peluang kepada lebih banyak atlet mendapat pengalaman bertanding selain memudahkan proses pencarian pelapis atlet kebangsaan.

"Kita nak wujudkan lebih banyak atlet dengan melihat program akar umbi, mengkaji struktur SUKMA. Sekarang kalau ada enam negeri yang nak sertai sesuatu sukan itu, baru ia boleh dianjurkan di SUKMA. Peraturan seperti ini tidak bagus untuk pembangunan sukan.

"Saya akan melihat (struktur SUKMA) secara menyeluruh, reformasi, ahli Lembaga MSN yang ditugaskan untuk melihat perkara itu adalah S.Suriaghandi (Ahli Lembaga Pengurusan MSN)," katanya kepada pemberita pada program sukan buat warga emas di sini hari ini.

SUKMA 2024 akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Terdahulu, Hannah melawat Persatuan Penganut Agama Buddha di sini yang telah mengadakan aktiviti sukan untuk warga emas bagi masyarakat setempat.

"Mereka telah atur program dan aktiviti sukan untuk warga emas, ini bukan aktiviti sekali anjur sebab mereka sudah ada kemudahan dan mereka adakan pertandingan ping pong dan beberapa acara sukan bertujuan membantu warga emas kekal aktif, bukan sahaja fizikal tetapi juga minda.

"Saya meminta rumah ibadat di seluruh Malaysia mewujudkan aktiviti sukan untuk warga emas di rumah ibadat masing-masing. Untuk menyokong usaha mereka saya memperuntukkan RM10,000 kepada mereka bagi menganjurkan lebih banyak pertandingan," katanya.

-- BERNANA