WALAUPUN kekurangan kejohanan besar dalam kalendar 2016, pemain sepak takraw negara, Muhammad Syahir Rosdi tetap giat pertingkatkan latihannya bagi hadapi saingan Piala Raja Thai yang akan bermula pada Ogos nanti.

Syahir yang beraksi di posisi tekong terasa sedikit kelopongan pada kalendar sukan takraw tahun ini kerana masih lagi tiada perkhabaran kejohanan sepak takraw Super Series Istaf yang sepatutnya berlangsung pada Mac.

Kali terakhir Syahir beraksi dalam kejohanan kompetitif adalah pada kejohanan sepak takraw Piala Emas Khir Johari pada 2 Mac lalu dengan membantu pasukan Pulau Pinang menamatkan kemarau 54 tahun untuk memenangi kejohanan itu.

Menurut Syahir, walaupun sibuk mengerjakan ibadah puasa, dia dan rakan sepasukan tetap komited menjalani latihan.

Fokus skuad sepak takraw negara kini adalah untuk menghadapi saingan Piala Raja Thai yang akan bermula 20 Ogos di Bangkok, Thailand.