Gandingan Muhd Syafiq Puteh dan Nur Dhabitah Sabri menghadiahkan pingat emas terakhir negara pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran.

Syafiq-Dhabitah mencatatkan 286.56 mata, mengalahkan pasangan penerjun Indonesia Andriyan Andriyan-Maria Natalie dengan kutipan 226.62 mata untuk pingat perak.

Gandingan Macau Tang Hio Fong-Choi Sut Kuan yang mengutip 182.25 mata pula menang gangsa.

Terdahulu, dua penerjun negara iaitu Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin gagal meraih kedudukan podium bagi acara 10m platform individu lelaki, selepas masing-masing sekadar berada di tangga keempat dan kelima.

Dalam acara itu, penerjun dari Singapura Jonathan Chan meraih pingat emas dengan kutipan 407.90 mata mengejutkan penerjun dari China, Wang Zewei yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak mengumpul 393.45 mata.

Penerjun dari Korea Utara Ri Kwon Chok pula meraih gangsa dengan jumlah mata 347.25.

Berikutan kemenangan itu, Jonathan berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu, Malaysia menambah satu lagi slot ke Olimpik menerusi Nur Dhabitah yang berjaya meraih emas acara 3m papan anjal individu wanita hari ini.

Piala Asia yang disertai 11 negara melabuhkan tirainya hari ini, dengan Malaysia berada di tangga teratas dengan kutipan enam pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

China yang hanya menghantar tiga penerjun meraih tiga emas, manakala Korea Utara, Singapura dan Jepun masing-masing mengutip satu emas.

-- BERNAMA