Ringkasan AI
- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan kecewa dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) yang mengenakan denda terhadap pasukan Selangor FC, serta menganggapnya tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab.
- Baginda menyatakan hukuman denda RM100,000, bayaran pampasan, pemotongan tiga mata, dan perlawanan tanpa penonton sebagai tidak masuk akal dan berlebihan, apatah lagi kemenangan telah diberikan kepada pasukan lawan.
- Sultan Sharafuddin menekankan pentingnya sukan bola sepak sebagai platform perpaduan dan menegur MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tidak serius menangani keganasan dan kezaliman dalam sukan, serta mengingatkan mereka agar membuat keputusan dengan berhati-hati demi menjaga imej dan semangat kesukanan bola sepak tempatan.
Titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan pada Rabu, baginda menganggap keputusan itu tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
Baginda juga amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Sultan Sharafuddin juga terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Baginda juga berpandangan hukuman denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal.
Sultan Sharafuddin juga berpendapat hukuman tersebut amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.
“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.
“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.
“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah baginda berasa amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.
“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.
“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS.
“Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titahnya.
Sebelum mengakhiri titah, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan MFL supaya membuat keputusan dengan berhati-hati.
“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.
“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini,” titah Sultan Sharifuddin.