Im Li Ying merangkul emas keempat dan terakhir untuk Wilayah Persekutuan apabila memenangi perlawana akhir perseorangan wanita, menewaskan Low Yu Xuan dari Melaka dengan 11-6, 11-6, 11-9, 11-8 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No 3 di sini.
Wilayah Persekutuan di bawah bimbingan Muhamad Ashraf Haiqal Muhamad Rizal memenangi pingat emas dalam acara berpasukan campuran, beregu lelaki dan wanita, sebelum ini.
Berpasukan campuran terdiri daripada Lim Jing Shuen, Lee Yee Jat, Gan Ai Lis, Im Jin Zhen, Caleb Zi An Hong, Ng Jia Wei, dan Chan Jing Fei; beregu wanita (Lim Jing Shuen-Im Li Ying) dan beregu lelaki (Lee Yee Jat-Tan Yee Heng).
Wilayah Persekutuan turut meraih tiga pingat perak dan satu gangsa di SUKMA 2024.
"Kami sangat berpuas hati. Pasukan memberikan saingan terbaik pada SUKMA kali ini. Kejayaan mereka adalah di luar jangkaan kerana sasaran diletakkan dua pingat emas dan satu perak.
"Dua minggu sebelum ke SUKMA, skuad menjalani latihan dengan sparring dari China. Program latihan ini membantu pemain memberikan saingan yang baik di sini," katanya kepada Bernama.
Pingat gangsa acara perseorangan wanita menjadi milik Annie Siaw Mei dari Sarawak selepas menundukkan Hun Hui Qi dari Selangor 11-5, 5-11, 5-11,11-9,11-6,13-11.
Bagi acara perseorangan lelaki, Shen Wong Qi dari Kedah muncul juara selepas menewaskan Im Jin Zhen dari Wilayah Persekutuan dengan 11-6,11-4,11-3, 12-10 manakala gangsa menjadi milik wakil Selangor Tey Hong Yu yang mengalahkan pemain Pulau Pinang, Lai Yong Han 11-8, 11-9,11-5, 9-11, 11-7.
-- BERNAMA