KUCHING: Di sebalik tekanan beraksi di laman tuan rumah, Kelantan di bawah bimbingan Ahmad Zahid Adnan tetap unggul ketika mengesahkan kejayaan manis berkenaan selepas mengetepikan cabaran Sarawak dengan kelebihan 25 larian.

Bercakap kepada pemberita, Ahmad Zahid memuji fokus tinggi dan semangat kental anak buahnya untuk memenangi perlawanan.

"Pandangan peribadi saya, perlawanan ini sangat sengit sebab kedua-dua pasukan tunjuk komitmen tinggi," katanya.

Ketua pasukan Kelantan Amirul Asyraf Ayob berkata kejayaan itu sesuatu yang membanggakan selepas Kelantan tidak menyertai sebarang pertandingan dalam kejohanan kebangsaan sepanjang dua tahun lepas.

"Tiada siapa jangka kami akan menang kerana kami tidak bertanding dalam kejohanan kebangsaan tetapi kami berlatih dengan tekun dan menunjukkan ketabahan apabila datang ke Kuching.

"Kali pertama kami bertanding dalam kriket SUKMA adalah 15 tahun lepas. Ini adalah kemenangan besar pertama kami dalam kriket Malaysia, jadi ia memang sangat bermakna.

"Apa yang membuatkan permainan ini istimewa di Kelantan ialah hakikat bahawa jurulatih kami adalah guru sekolah yang percaya kepada kami dan menunjukkan kami cara untuk bermain kriket dengan baik," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Pingat gangsa menjadi milik Selangor yang menundukkan Terengganu dengan kelebihan 31 larian pada aksi penentuan tempat ketiga.

Sementara itu, dalam aksi liga sepusingan T10 wanita, Selangor menewaskan Pahang dengan kelebihan empat wiket manakala Perak menang dengan kelebihan 29 larian ke atas Sabah.

-- BERNAMA