Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pengenalan aplikasi, saluran YouTube rasmi serta aplikasi teknologi Augmented Reality (AR) bakal menyemarakkan semangat bangkit bersama.
"Kini semua bersosial di hujung jari dan KL2017 akan dibawa terus ke jari jemari anda.
"Saya percaya dan yakin ini semua akan membantu dari segi menyemarakkan semangat bangkit bersama dalam kalangan rakyat Malaysia dan semua negara yang akan menyertai temasya KL2017," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Digital@KL2017.
Jelasnya, aplikasi KL2017 bakal membawakan maklumat perlawanan secara cepat dan waktu nyata atau real time.
Ia juga membolehkan pengguna memilih jenis acara dan negara yang menjadi keutamaan mengikut pilihan pengguna.
Pada majlis sama beliau turut berkongsi maklumat pencapaian platform web, facebook, instagram dan twitter KL2017 yang berjaya mendapat perhatian peminat sukan terutamanya dari Malaysia.
Turut ditayangkan ialah iklan TV KL2017 yang diarahkan oleh Quek Shio Chuan yang membawa mesej kesukanan, perpaduan, kebersamaan dan perjuangan yang tinggi.