Semua pemilik tanah di Kedah perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri dan Jabatan Warisan sekiranya ada binaan yang boleh dianggap sebagai binaan arkeologi di dalam kawasan milik mereka sebelum menjalankan sebarang kerja pembinaan. Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata arahan akan dikeluarkan bagi mengelak berlakunya insiden kemusnahan di Candi 11, Sungai Batu, Lembah Bujang pada Isnin lepas, berulang kembali.

NAYPYITAW: Atlet wushu Tai Cheau Xuen selamatkan maruah negara apabila berjaya meraih pingat emas kedua. Ia berupa pingat ke-999 negara sejak Malaysia menyertai Sukan SEA pada 1959.

Tai yang beraksi cemerlang dalam acara Nandao wanita mengungguli acara tersebut selepas mengumpul mata tertinggi 9.69 mengatasi tujuh peserta lain pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi A dekat sini hari ini.

Pingat Perak menjadi milik peserta tuan rumah Aint Mi Mi yang mendapat 9.67 mata manakala pingat gangsa milik Juwita Niza Washi Washi yang mewakili Indonesia dengan kutipan 9.65 mata.

Sandaran utama pingat bagi acara tersebut iaitu Diana Bong Siong Lin terpaksa berpuas hati dengan kutipan 9.23 mata untuk berada di tempat ketujuh selepas jatuh kerana mengalami hidrasi akibat cirit-birit sejak tiga hari lepas.

Semalam Diana menjadi penyumbang pertama negara pingat emas negara menerusi acara Nanquan wanita.

Empat pingat perak dari skuad wushu negara hari ini masing-masing disumbangkan oleh Ng Say Yoke (Gunshu Lelaki), Ho Mun Hua (Nanquan Lelaki), Ho Mun Hua/Wong Weng Son Wong/ Lee Yang (Duilian Lelaki) dan Ng Shin Yii (Taijijian Wanita).

Tai, 23, berkata beliau sangat gembira kerana menjadi penyumbang pingat emas ke-999 negara dan diharap ia bakal membawa tuah kepada dirinya dan pasukan wushu negara.

"Segala usaha yang saya lakukan sebelum ini berbaloi dengan pingat emas hari ini dan saya harap esok saya dapat menyumbang sebutir lagi pingat tanpa mengira warna," katanya kepada pemberita.

Atlet berasal dari Negeri Sembilan itu berkata beliau mula mendekati sukan wushu sejak berusia 16 tahun atas galakan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh keluarga yang juga meminati sukan berasal dari negara tembok besar China itu.

"Esok saya akan cuba lakukan yang terbaik dan harap mampu menyumbang sebutir pingat lagi kepada negara," katanya.

Pada aksi hari keenam esok, Tai akan beraksi dalam acara Nangun wanita bersama Diana bagi memburu pingat ke 1,000 negara.