Sudah terlambat bagi acara bina badan untuk dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Itu jawapan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria terhadap permintaan dua atlet bina badan negara, Buda Anchah dan Syarul Azman Mahen Abdullah yang mahukan sukan itu disenaraikan pada temasya dwitahunan tersebut.

"Kami ada membincangkan perkara ini tadi dan telah mendengar penjelasan daripada Setiausaha Agung MOM Datuk Low Beng Choo. Walau apapun terjadi, senarai 38 sukan yang diputuskan pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Julai lalu adalah muktamad.

"Ia juga bertentangan dengan peraturan SEAGF kerana senarai sukan dan acara yang dipertandingkan harus dimuktamad dan diumumkan sekurang-kurangnya setahun sebelum majlis perasmian pembukaan Sukan SEA. Walaupun niatnya baik, ia agak terlambat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Buda dan Syarul Azman yang mahu mengemukakan rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta MOM agar sukan itu yang tidak disenarai sebelum ini, dipertandingkan pada Sukan SEA 2017.

Syarul Azman yang lebih dikenali sebagai Mike Mahen, selepas menjuarai Kejohanan Bina Badan Asia 2016 pada bulan lepas, menjanjikan sekurang-kurangnya tiga pingat emas buat negara pada Sukan SEA, berdasarkan pencapaian di Bhutan, di mana kontinjen bina badan negara meraih tiga emas dan sebutir gangsa.

Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) juga tidak mengemukakan rayuan kepada MOM apabila tempoh rayuan dibuka pada awal tahun ini, di mana badan induk sukan negara itu menerima rayuan bagi 222 acara dari 41 jenis sukan sebelum memutuskan senarai akhir untuk Sukan SEA 2017 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai tahap kesedaran atlet mengenai isu doping dalam kalangan atlet muda, Mohamad Norza berkata peranan itu akan diambil oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) dan Kementerian Pendidikan bagi memaklumkan tentang perkara tersebut.

"Isu doping ini bukan sahaja penting untuk atlet elit sahaja, malah perlu diketahui oleh semua atlet walaupun mereka masih berada di bangku sekolah atau institusi pengajian tinggi kerana suatu hari nanti mereka berpeluang mewakili negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada atlet paralimpik negara yang mempamerkan prestasi mengagumkan, iaitu prestasi yang hampir sama atau mengatasi atlet normal, untuk mewakili negara pada Sukan SEA 2017.