Faktor kredibiliti kepimpinan, kejayaan yang diraih dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan karate membolehkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Sukan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2014 pada Rabu ini.

"Apabila memperkatakan tentang Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), komuniti sukan dan masyarakat umum tahu bahawa mereka tidak pernah menghampakan negara dalam meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan atau temasya sukan," kata SAM dalam satu kenyataan, hari ini.

MAKAF telah dibentuk dengan menggabungkan pelbagai kelab di bawah satu payung pada 1978.
Penubuhannya diiktiraf Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai badan induk sukan karate di Malaysia.

Sejak kepimpinan terdahulu, seperti Dr Leong Kwok Onn, Datuk Tan Tiong Hong, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Datuk Henry Chin, Datuk Zulkifli Mat Nor sehingga pemimpin sekarang, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, MAKAF terus melebarkan sayapnya.

Antara kejayaan yang dicapai skuad karate negara ialah membawa pulang dua pingat emas dan dua pingat gangsa pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada September tahun lepas.

Pingat emas dihasilkan menerusi Lim Chee Wei dan Syakilla Salni dan dua gangsa melalui Shree Sharmini dan Senthil Kumaran.

Selain itu, pada Kejohanan Karate Senior Dunia ke-22 di Bremen, Jerman pada 5-9 Nov lepas, skuad karate berjaya meraih satu perak dan satu gangsa.

Sementara penyertaan dalam temasya Sukan SEA, skuad karate tidak pernah pulang hampa sebaliknya seperti lubuk pingat emas buat kontinjen negara.

Bermula dengan edisi di Brunei Darussalam pada 1999, Malaysia berjaya meraih tujuh pingat emas, lima perak dan empat gangsa dan kejayaan terbesar dalam Sukan SEA ialah ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2001 iaitu dengan sembilan pingat emas, tiga perak dan enam gangsa.

Pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad karate membawa pulang tujuh pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

Selain atletnya meraih kejayaan dalam mana-mana kejohanan baik di rantau Asia mahupun peringkat dunia, MAKAF turut mempamerkan kreadibilitinya dalam menganjurkan siri seminar dan klinik kejurulatihan peringkat kebangsaan dan juga serantau.