HANGZHOU: Hasrat penembak veteran Nur Suryani Mohamed Taibi untuk mendapatkan hadiah hari kelahirannya pada Sukan Asia di sini, tidak tercapai apabila terlepas peluang untuk mara ke final acara 10m air rifle individu wanita.

Nur Suryani yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-41 hari ini, tidak mampu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pada pusingan kelayakan di Pusat Sukan Fuyang Yinhu dekat sini.

Pemenang pingat perak acara 50m prone rifle individu dan gangsa 50m prone rifle berpasukan pada Sukan Asia 2014 di Incheon itu, menamatkan saingan di tempat ke-44 daripada 62 peserta selepas meraih 617.8 mata.

Pembidik muda Alia Husna Budruddin, menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila mencatatkan 619.9 mata untuk menduduki tempat ke-39, yang juga pencapaian terbaiknya bagi kejohanan antarabangsa, mengatasi catatan 619.4 mata sebelum ini.

Namun, Nur Suryani masih mempunyai peluang untuk mendapatkan hadiah hari kelahirannya di sini, apabila beraksi dalam acara 10m air rifle pasukan campuran pada Selasa dan 50m rifle tiga posisi bersama Alia pada Rabu, yang juga merupakan acara tumpuan skuad negara.

Jurulatih kebangsaan Muhamad Zubair Mohammad berkata kedua-dua anak buahnya telah memberikan maklum balas yang positif dan berada pada tahap emosi yang baik selepas aksi 'pemanas badan' itu.

"Jurang antara kita dan negara lain memang tinggi, kita perlu banyak perbaiki. Namun, penembak kita sedang menunjukkan perkembangan yang positif, dan diharap untuk pamer prestasi lebih baik pada acara 50m tiga posisi nanti," katanya.

Sementara itu, juara dunia 2023, Han Jiayu dari China ungguli pusingan kelayakan berkenaan dengan catatan rekod baharu temasya dan Asia selepas membidik 634.1 mata, diikuti Ramita Jindal dari India (631.9) dan seorang lagi wakil tuan rumah Wang Zhilin (631.6).

Prestasi Han pada hari ini menyaksikan beliau mengatasi rekod Asia (634.0) dan Sukan Asia (631.9) rakan senegaranya, Zhao Ruozhu.

Namun pada final, seorang lagi pembidik China, Huang Yuting mengatasi Han (251.3) untuk rangkul emas dengan mencatatkan rekod baharu temasya menerusi 252.7 mata, manakala Ramita (230.1) bawa pulang gangsa.

Zhao merupakan pemilik rekod terdahulu dengan 250.9 mata, yang dicatatkannya untuk rangkul emas edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Esok, kem menembak negara akan mempertaruhkan Haritz Iklil Hessly Hafiz pada saingan dalam acara 10m air rifle lelaki, berdepan pemegang rekod dunia dari China, Sheng Lihao pada penampilan pertamanya di Asiad.

-- BERNAMA